PUTRAJAYA: “Nampak meletup depan mata dari tingkap rumah.”
Itu detik paling menakutkan dikongsi seorang rakyat Malaysia yang menetap di Juffair, sebuah daerah di Bahrain ketika gelombang serangan melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak.
Menurut individu Norhani Aida Mohd. Nor, 42, kediamannya hanya kira-kira tiga minit dari pangkalan tentera laut Amerika Syarikat di kawasan berkenaan, yang sememangnya dikenali sebagai lokasi strategik ketenteraan.
Dia mendedahkan jarak antara serangan pertama dan serangan-serangan seterusnya hanyalah sekitar 13 minit.
“Paling kemuncak apabila penggera kebakaran di bangunan rumah saya turut berbunyi sebagai tanda untuk berpindah ke kawasan berkumpul. Apabila kami turun ke tempat letak kereta, semua kenderaan sudah tiada,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menceritakan kronologi detik cemas itu, dia memberitahu, pada Sabtu pagi semalam keadaan seperti biasa dan dua anaknya, Nur Aleesya Azalea Muhamad Nizam, 13, dan Nur Aleeya Adelina Muhamad Nizam, 10, sedang menghadiri kelas agama secara dalam talian.
Tiba-tiba pada 11.15 pagi, katanya, semua telefon bimbit berbunyi dengan amaran kecemasan dan kelas terus dibatalkan.
“Pukul 11.30 pagi, suami Muhamad Nizam Shaidon, 43, maklumkan pejabatnya di sebuah institusi kewangan swasta sudah mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan (BCP). Saya pula ketika itu sedang menguruskan kain baju untuk dicuci tangan,” katanya.
Beliau berkata, pada 11.38 pagi, serangan pertama berlaku dan seluruh Juffair bergegar.
“Satu Juffair bergegar. Tetapi saya masih menyental baju. Anak-anak sudah mahu berlari dalam keadaan panik. Suami ketika itu sedang bercakap telefon dengan rakannya.
Tiba-tiba kami nampak letupan di depan mata melalui tingkap rumah.
“Suami menjerit supaya anak-anak menjauh dari tingkap. Mereka sangat ketakutan. Saya segera bawa mereka masuk ke bilik dan cuba tenangkan keadaan,” ujarnya.
Tidak sampai setengah jam kemudian, pada 12 tengah hari, mereka mengambil keputusan untuk berkemas.
“Kami capai apa sahaja yang ada. Baju yang sedang dibasuh itu saya tinggalkan sahaja di bilik air pukul 12.13 tengah hari kami keluar dari kawasan residensi.
“Pukul 12.55 tengah hari kami tiba di pejabat suami, berjumpa pihak sumber manusia dan diberikan arahan untuk berpindah ke hotel. Pada 1.12 tengah hari kami selamat daftar masuk,” katanya.
Menurutnya, suasana di lobi hotel ketika itu sudah mula dipenuhi orang ramai yang mahu mendapatkan perlindungan sementara. Di pasar raya pula, orang ramai berpusu-pusu melakukan pembelian panik.
“Lot kedai di dalam pusat beli-belah masih beroperasi ketika itu. Namun pada 5.30 petang apabila kami mahu membeli barang, semua butik dan outlet telah ditutup serta-merta. Hanya pasar raya yang masih dibuka.
“Pukul 5.38 petang kami berbuka puasa, Namun suasana kembali tegang selepas waktu maghrib.
“Selepas maghrib, serangan bertubi-tubi kembali memenuhi ruang udara Bahrain. Terkini, serangan sudah menyasarkan bangunan residensi yang jauh dari pangkalan tentera laut,” katanya.
Beliau memberitahu, sehingga 9.19 malam, keluarganya berada dalam mod berjaga-jaga.
“Saya terima banyak mesej di WhatsApp, Instagram dan Facebook bertanya keadaan kami. Alhamdulillah, kami okey. Anak-anak ada sedikit ketakutan kerana melihat peluru berpandu di depan mata.
“Mereka sepatutnya memulakan peperiksaan akhir esok, tetapi Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi pembelajaran akan dijalankan secara dalam talian,” ujarnya.
Katanya lagi, ruang udara Bahrain masih ditutup, manakala siren amaran pada telefon bimbit berbunyi tanpa henti selain siren kereta peronda dan jentera bomba yang turut kedengaran di merata tempat.
Tambahnya, beliau dan keluarga telah memaklumkan keberadaan mereka kepada pihak Kedutaan Malaysia di Manama yang disifatkan sangat membantu dalam situasi genting tersebut. – UTUSAN










