Pembangunan kolam takungan banjir tiada unsur rasuah

Pembangunan kolam takungan banjir tiada unsur rasuah

HANNAH Yeoh ketika menerima kunjungan dan taklimat daripada pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung hasil siasatan proses pemberimilikan kolam takungan banjir kepada pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur di Jabatan Wilayah Persekutuan, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada unsur rasuah, penyelewengan dan salah-guna kuasa dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan enam kolam takungan banjir sebagaimana yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati perizaban kolam takungan banjir tersebut diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan semasa pemberimilikan tanah berkenaan.

Katanya, pada 9 Oktober 2016, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL), bersetuju membatalkan kelulusan perizaban yang diluluskan pada 19 Jun 1998 bagi membolehkan kelulusan pemberimilikan seluas 80 ekar diberikan pemaju untuk pembangunan bercampur de­ngan pengenaan premium berjumlah RM214 juta.

“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pe­wartaan kawasan ini diambil. Namun, SPRM menjalankan siasatan terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan melalui semakan dokumen serta rakaman ketera­ngan saksi-saksi terlibat terma­suk dari pemaju yang terlibat.

“SPRM mengadakan lawatan ke tapak kawasan kolam taku­ngan banjir dan juruukur yang dilantik mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju,” katanya dalam kenyataan semalam.
Hannah dimaklumkan SPRM berhubung perkara berkenaan dalam pertemuan dan kunju­ngan dan taklimat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman bersama pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2, menyatakan enam kolam takungan banjir diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Ia adalah Kolam Batu, Kolam Nanyang, Kolam Delima, Kolam Taman Wahyu, Batu 4 ½ dan Taman Desa. Kolam Nanyang, Kolam Delima dan Kolam Taman Wahyu dikenali sebagai Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang (KTBSJ) terletak berhampiran Sungai Jinjang meliputi kawasan seluas 38.64 kilometer (KM) persegi dengan kapasiti penyimpanan sehingga 2.5 juta meter padu air.

JWP menubuhkan pasukan petugas khas mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir sebagai langkah tepat mengelakkan perkara ini daripada berulang.

JWP komited memelihara kawasan lapang dan kolam taku­ngan banjir demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur dan akan mempercepatkan proses pe­wartaan baki 30 peratus kawasan lapang dan kolam takungan banjir yang telah diluluskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN