MALAM Citra Warna Kuala Perlis 2026 yang memasuki tahun ketiga penganjuran berada di kelas tersendiri apabila dibanjiri lebih 100,000 pengunjung yang memenuhi segenap ruang Dataran Lok 9 di sini, pada malam perasmian, 22 Mei lalu.
Program ikonik dianjurkan kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada Festival Rakyat 3.0 yang bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83.
Festival berkenaan turut mendapat sokongan dan kerjasama strategik daripada Five Petroleum Malaysia Sdn. Bhd, 99 Speed Mart Holding Berhad dan Aurelius Hospital Alor Setar.
Majlis perasmian penuh meriah dan gilang-gemilang itu disempurnakan Tuanku Syed Sirajuddin dan berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pembukaan acara diserikan dengan persembahan Tari Tualang Tiga dan disusuli perarakan Perahu Jarum Emas Jamalullail, choley dan penduduk Kampung Warna-Warni Seberang Ramai.
Selain itu, terdapat juga perarakan tarian canggung pelajar sekolah, perarakan tarian Orang Asal Bahbola dan Sali Bahbola serta perarakan tarian merak.
Pengunjung turut disajikan dengan perarakan kereta berhias Tahun Melawat Malaysia, Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 dan Geopark.
Kemeriahan pada malam itu diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkenal Noraniza Idris dan ratu rock negara, Ella yang memukau setiap pengunjung.
Persembahan ditutup dengan Tarian Ayam Didik, persembahan lagu citra warna, Tahun Melawat Perlis, Tahun Melawat Malaysia dan pertunjukan bunga api.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, penganjuran festival itu selaras dengan aspirasi TMPs dalam memperkasa sektor pelancongan domestik serta mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan pilihan serta penganjuran acara kebudayaan utama di wilayah utara tanah air.

Katanya, Malam Citra Warna Kuala Perlis telah menghimpunkan pelbagai elemen seni, budaya dan persembahan menarik pelbagai kaum dalam satu pentas.
“Ia juga merupakan acara signifikan dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri yang kaya dengan elemen budaya serta keindahan flora dan fauna.
“Persembahan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden pada acara ini bukan sahaja menyerlahkan keunikan warisan seni dan budaya negeri, bahkan turut menjulang martabat seni tempatan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Abu Bakar berkata, sebanyak sembilan buah kenderaan menyertai perarakan kereta berhias bersempena dengan Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026.
“Perarakan kereta berhias itu adalah dengan kerjasama jabatan dan agensi antaranya seperti pejabat Setiausaha Kerajaan negeri, Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Perlis (Motac), Tourism Malaysia, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSSI) dan pelbagai lagi,” katanya.

Abu Bakar berkata, berdasarkan trend sambutan penganjuran terdahulu, program tersebut dijangka mampu menghimpunkan lebih 200,000 pengunjung termasuk dari negara jiran sepanjang tiga hari festival berkenaan.
Beliau berkata, selain Malam Citra Warna Kuala Perlis 2026, Festival Rakyat tersebut turut diserikan dengan pelbagai acara bertaraf antarabangsa.
“Antaranya seperti Perlis International Open Fight Night 3.0, Kejohanan Tarik Tali Terbuka Kelab Antarabangsa dan Kebangsaan 2026, Kejohanan Gusti Lengan Jemputan Antarabangsa Perlis 2026, pertunjukan wau gergasi dan berlampu serta banyak lagi. Menariknya lagi, acara tarik tali antaranya menawarkan hadiah sehingga RM30,000 iaitu jumlah yang cukup tinggi,” katanya.










