PETALING JAYA: Puluhan ahli pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan aktivis yang disoal siasat polis sejak kebelakangan ini mengimbau ‘zaman gelap’ pada 1998 sehingga mewujudkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mendakwa, beberapa hari lalu Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah dipanggil untuk disoal siasat di Bukit Aman berhubung dakwaan plot untuk menjatuhkan kerajaan oleh keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Katanya, keadaan itu mengingatkannya kepada Reformasi 1998, namun perjuangan PKR pada hari ini tidak lagi sama dengan platform yang disertainya 17 tahun lalu.
Chen turut menzahirkan kekecewaan terhadap polemik membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Dalam satu perkembangan yang pelik, beberapa hari lalu Pushpan telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di Bukit Aman berhubung dakwaan plot untuk menjatuhkan kerajaan oleh keluarga Tun Daim.
“Tidak memadai untuk membiarkan episod saham Azam Baki ini diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar) untuk tindakan lanjut.
“Ini bukanlah perjuangan yang saya sertai 17 tahun lalu apabila saya menyertai PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chen berkata, ketelusan dan akauntabiliti mesti ditegakkan dengan laporan siasatan jawatankuasa khas melibatkan Azam perlu didedahkan.
“Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai saham Azam Baki dan dakwaan ‘mafia korporat’ mesti ditubuhkan,” katanya.
Chen berkata, siasatan jawatankuasa khas perlu didedahkan sepenuhnya selepas bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli mendedahkan, Azam membeli saham dalam sembilan syarikat tersenarai dengan jumlah pelaburan sebanyak RM14 juta.
“Saya menggesa kerajaan untuk mendedahkan sepenuhnya dapatan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyiasat Azam Baki. Jawatankuasa ini telah dibentuk pada 13 Februari, lebih sebulan yang lalu,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa itu sepatutnya dianggotai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan merangkumi wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Namun, kerajaan tidak berbuat demikian dan sehingga hari ini secara konsisten enggan menubuhkan RCI. – UTUSAN









