Pulau Pinang pertimbang dasar bekerja dari rumah

Pulau Pinang pertimbang dasar bekerja dari rumah

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika melakukan gimik pelancaran sempena program Gen.Ai Chatbot (ChatMBPP) di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu arahan Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan dasar bekerja dari rumah sebelum mempertimbangkan untuk mengambil langkah yang sama di peringkat negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan bekerja dari rumah bukanlah perkara baharu memandangkan ia pernah dilaksanakan ketika pandemik Covid-19, namun, satu garis panduan yang jelas perlu diperolehi sebelum sebarang dasar berkaitan dibuat.

“Apapun, kita akan menunggu arahan lanjut bagi mempertimbangkan bagaimana untuk melaksanakan dasar ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Gen.Ai Chatbot (ChatMBPP) di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menetapkan peraturan kerja lebih anjal termasuk pelaksanaan dasar bekerja dari rumah secara berperingkat bagi penjawat awam.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pelaksanaan dasar bekerja dari rumah dilihat berpotensi meminimumkan pergerakan fizikal dalam kalangan penjawat awam serta membantu mengurangkan perjalanan harian mereka khususnya dalam menghadapi cabaran kenaikan harga petrol dan diesel ketika ini.

Pada masa yang sama, beliau mengakui bahawa kenaikan dua bahan api itu memberi kesan ketara kepada pelbagai sektor termasuk operasi kerajaan negeri dan antara yang terjejas ialah bahagian pengurusan sisa pepejal yang memerlukan penggunaan diesel secara berterusan.

“Sebagai contoh, trak pengangkut sampah menggunakan diesel dan ada syarikat kontraktor (yang menawarkan perkhidmatan mengangkut sampah) tidak layak menggunakan diesel bersubsidi. Oleh itu, mereka terpaksa menggunakan diesel industri yang lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos operasi,” katanya.

Jelas beliau, keadaan itu tidak boleh dielakkan kerana perkhidmatan kutipan sampah perlu dijalankan setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan dan dalam hal ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin perlu menanggung kos tambahan berikutan kontraktor berhak menuntut pelarasan harga berdasarkan perjanjian sedia ada.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN