Provokasi agama: Zamri Vinoth dan dua lagi didakwa

Provokasi agama: Zamri Vinoth dan dua lagi didakwa

ZAMRI Vinoth mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencetuskan provokasi agama dan perkauman. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga individu termasuk pendakwah bebas, Zamri Vinoth dihadapkan ke mahkamah berasingan semalam atas pertuduhan mencetuskan provokasi dan mengeluarkan kenyataan menyentuh isu agama dan perkauman.

Dua lagi yang didakwa ialah Arumugam Dorasamy dan seorang pemandu e-hailing, P. Mahendra Bhoopaty.

Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Zamri yang juga Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam berhubung penganjuran perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, bulan lalu.

Kenyataan itu didakwa dibuat menerusi laman Facebook miliknya dan dilihat serta didengar oleh seorang individu di sebuah restoran di Jalan Tunku Abdul Rahman, Dang Wangi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail mencadangkan jaminan RM10,000, namun peguam Hariz Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jumlah tersebut dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh dan tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai. Sebutan kes ditetapkan pada 29 April.

Zamri berpakaian sut gelap dan bergari, tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.15 pagi.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Jawi, Arumugam, 56, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat ke­nyataan di media sosial dengan niat menimbulkan kegusaran orang ramai, pada Mac tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuat naik kenya­taan berkenaan di akaun Instagram miliknya, @arun_dorasamy, yang kemudiannya dilihat dan didengar oleh seorang individu di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan pada kira-kira pukul 3.45 petang, 12 Mac 2025.

Tindakan itu didakwa dilakukan dengan niat menimbulkan kegusaran orang ramai yang berpotensi menghasut sesiapa untuk melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Arumugam dituduh mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jun untuk sebutan bagi penyerahan dokumen.

Di Mahkamah Majistret Se­remban, P. Mahendra Boopathy didenda RM4,000 atau penjara tujuh bulan tahun selepas me­ngaku bersalah memuat naik video yang mungkin menyebabkan kegentaran orang awam hingga melakukan kesalahan ketenteraman awam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memuatnaik naik vi­deo di akaun Facebook miliknya dengan kata-kata ‘kalau kuil India di bawah jambatan haram, yang ni masjid bawah jambatan flyover macam mana haram ke halal eh cuba terangkan’.

Mahendra Boopathy dituduh melakukan kesalahan itu di Masjid Jamek Dato’ Bandar Hj Ahmad dekat Rasah di sini kira-kira pukul 12.30 tengahari, 27 Februari lalu.

Tuduhan mengikut Seksyen 505(d) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam bela mengaku melakukan perbuatan itu tanpa niat dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam.

“Saya minta maaf kepada seluruh umat Islam atas perbuatan memuat naik hantaran video yang menyinggung,” katanya.

Sementara itu, pendakwaan terhadap seorang lagi aktivis, Tamim Dahari yang dijadualkan di Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah ditangguhkan pada 17 Mei depan kerana beliau kini berada di Riyadh, Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×