KUALA LUMPUR: Tiada perbezaan layanan terhadap penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy semasa mereka dibawa ke mahkamah untuk dituduh sebaliknya tindakan diambil mengikut peruntukan kesalahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail menjelaskan, walaupun tangkapan mereka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan namun terdapat satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.
“Kesalahan berbeza-beza, ada yang boleh jamin ada yang tidak boleh. Jadi itulah tindakan-tindakan ini berdasarkan undang-undang.
“Mungkin orang awam melihat ia satu perkara yang berbeza tetapi kita melaksanakan undang-undang ini mengikut peruntukan,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Kelmarin, peguam Zamri mempersoalkan layanan pihak berkuasa terhadap anak guamnya yang didakwa berbeza berbanding seorang lagi aktivis yang turut berdepan tuduhan sama hari ini.
Muhammad Hariz Md Yusoff berkata, anak guamnya dibawa ke mahkamah dengan bergari dan dikawal rapi oleh polis sebaliknya layanan itu berbeza dengan Arun Dorasamy atau nama sebenarnya D. Arumugam.
Dalam pada itu, mengulas berhubung penganjuran program Harmoni Madani membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan India, beliau berkata, pihaknya menyokong dan amat menghargai komitmen dan semangat perpaduan nasional bagi mencari penyelesaian membabitkan isu sensitif termasuk rumah ibadat.
Katanya, ini kerana sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan polemik awam berkaitan isu rumah ibadat khususnya melibatkan dawaan pembinaan kuil tanpa kelulusan sehingga ada pihak cuba mengambil tindakan bersifat provokatif termasuk menganjurkan himpunan.
“Kami sentiasa memantau dengan teliti beberapa perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang berpotensi menjadi titik panas sehingga membawa ketegangan antara kaum.
“PDRM komited untuk memastikan keamanan dan ketenteraman awam setiasa terpelihara. tapi akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang,” katanya.
Beliau berharap agar sesi dialog semalam dapat membuka ruang persepahaman yang lebih luas antara komuniti Melayu dan India supaya setiap isu dapat dibincangkan secara matang dan diselesaikan secara konstruktif.
“Malaysia telah melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarahnya namun negara ini kekal aman kerana rakyatnya memilih jalan perpaduan dan kesederhanaan.
“Saya yakin bahawa dialog ini mampu menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuhkan keharmonian antara komuniti serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu,” katanya. – UTUSAN










