Penahanan Zamri Vinoth: Tunggu kertas siasatan selesai

Penahanan Zamri Vinoth: Tunggu kertas siasatan selesai

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya akan dimaklumkan selepas kertas siasatan selesai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini beliau masih belum mempunyai maklumat Zamri akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya.

Sebaliknya, beliau berkata, maklumat berkenaan hanya akan dimaklumkan selepas kertas siasatan selesai.

“Buat masa sekarang saya belum ada apa-apa maklumat melainkan berita tangkapan seperti mana yang kita sedia maklum,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor-PH) berhubung status penahanan aktivis berkenaan selepas himpunan GARAH, baru-baru ini.

Saifuddin berkata, tangkapan beberapa peserta Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) pada Sabtu lalu dibuat berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Hasutan dan Kanun Tatacara Jenayah.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur membenarkan permohonan polis untuk menahan dua aktivis himpunan GARAH, Zamri dan Tamim Dahari selama dua hari bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan penahanan 17 individu selain dua aktivis berkenaan.

Katanya, kira-kira 100 individu berhimpun bagi mendesak tindakan diambil terhadap pencerobohan pembinaan kuil yang didakwa dibina tanpa kebenaran. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN