Himpunan Garah: Bersih persoal penahanan Haniff Khatri

Himpunan Garah: Bersih persoal penahanan Haniff Khatri

MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan polis menahan Peguam, Haniff Khatri pada himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) menimbulkan persoalan kerana beliau hanya memastikan anak guamnya mematuhi undang-undang dan hak mereka dilindungi serta dijamin.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, isu rumah ibadat yang menjadi polemik ketika ini harus diselesaikan dengan tanggungjawab dan libat urus yang inklusif.

Bagaimanapun, katanya, penangkapan Peguam, Haniff Khatri semalam telah menimbulkan pelbagai persoalan.

“Seorang peguam bertanggungjawab terhadap anak guamnya, khususnya dalam memastikan undang-undang dipatuhi serta hak-hak perundangan anak guamnya dilindungi dan dijamin.

“Pihak berkuasa tidak seharusnya mengambil tindakan keterlaluan sehingga membelakangkan hak-hak rakyat yang dijamin oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Faisal berkata, sebarang perhimpunan yang menyentuh sensitiviti agama wajar dielakkan kerana isu sedemikian amat rapuh dan berpotensi mencetuskan ketegangan, malah rusuhan antara kaum dan agama.

“Isu sebegini harus dipandu dengan rasa tanggungjawab bersama kerana masing-masing menyedari kesan besar dari ketegangan kaum dan agama akan memusnahkan masa depan negara.

“Isu ini bukan baru malah telah berlaruatan sejak berpuluh tahun,” katanya.

Tambahnya, isu tersebut perlu diselesaikan segera di masa depan berdasarkan peruntukan undang-undang dengan pihak-pihak terlibat.

“Melihat ke hadapan, kerajaan Madani harus berani ambil tanggungjawab untuk tuntaskan isu rumah ibadat ini berdasarkan saluran undang-undang dan sesi libat urus berkesan bersama pemegang taruh,” katanya.

Semalam, satu perhimpunan dianjurkan oleh 141 badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa.

Dalam himpunan bermula jam 8 malam di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu, beberapa individu ditahan termasuk Penyelaras Garah, Zamri Vinoth dan Haniff Khatri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN