PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa orang ramai agar memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung isu provokasi agama yang tular.
Katanya, semua pihak perlu bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat sementara siasatan berlangsung.
“Kebenaran akan terungkai secara menyeluruh dan telus melalui siasatan yang sedang dijalankan.
“Kerajaan Madani akan memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan negara terus terpelihara,” katanya di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, Anwar menegaskan tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran adalah tidak berasas.
Katanya, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.
Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berhubung individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di platform Threads. – UTUSAN










