Prestasi SPM 2025 Melaka meningkat, atasi purata nasional

Prestasi SPM 2025 Melaka meningkat, atasi purata nasional

Pegawai polis jatuh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 negeri Melaka menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila prestasi keseluruhan berjaya mengatasi pencapaian peringkat nasional.

Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor berkata, seramai 10,881 orang atau 97.07 peratus daripada 10,955 orang calon sekolah kementerian pendidikan di negeri ini berjaya mendapat sijil SPM berbanding 10,532 atau 96.14 peratus pada 2024.

Menurutnya, Gred Purata Negeri (GPN) pula mencatatkan penambahbaikan kepada 4.26 berbanding 4.43 pada tahun 2024, sekali gus lebih baik daripada purata nasional iaitu 4.42.

Menurut beliau, peratus calon layak memperoleh sijil SPM turut meningkat kepada 97.07 peratus berbanding 96.14 peratus pada tahun sebelumnya, mengatasi kadar nasional sebanyak 94.29 peratus.

Katanya, seramai 390 calon (3.48 peratus) berjaya memperoleh keputusan semua A, termasuk lapan calon yang mencapai semua A+.

“Pencapaian ini mencerminkan peningkatan kualiti akademik calon di negeri Melaka secara keseluruhan, hasil usaha berterusan semua pihak termasuk guru, pentadbir sekolah serta sokongan ibu bapa.

“Ini akan menjadi fokus penambahbaikan bagi memastikan pencapaian lebih seimbang merentas semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan SPM peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Alor Gajah di sini hari ini.

Mahfudzah berkata, sebanyak 24 daripada 76 buah sekolah di negeri ini berjaya mencapai 100 peratus kelayakan sijil SPM, mencerminkan peningkatan kualiti pendidikan secara menyeluruh di semua daerah.

Katanya, antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Sains Alor Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sharifah Rodziah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah (MOZAC), SMK Kem Terendak, Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu dan SMK Dang Anum.

Katanya, dari segi prestasi subjek teras, Bahasa Melayu mencatatkan kadar lulus tertinggi iaitu 99.43 peratus, diikuti Sejarah (97.32 peratus) dan Bahasa Inggeris (92.40 peratus).

Katanya, walau bagaimanapun subjek Matematik dan Pendidikan Moral masih menunjukkan peratus lulus di bawah 90 peratus, masing-masing pada 81.97 peratus dan 83.94 peratus.

Sementara itu jelasnya, dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), prestasi keseluruhan adalah baik dengan hampir semua mata pelajaran menunjukkan peningkatan kecuali Matematik Tambahan yang mencatatkan sedikit penurunan.

“Kita dapat lihat jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar terus mengecil, dengan perbezaan bagi kelayakan sijil berkurang daripada 1.18 peratus kepada 0.43 peratus, manakala jurang GPN mengecil daripada 0.20 kepada 0.11,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN