IPOH: UMNO Perak menjangkakan gelombang penyertaan semula bekas pemimpin dan ahli ke dalam parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa akan berlaku selepas Hari Raya Aidilfitri.
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana pihak di peringkat negeri.
Bagaimanapun katanya, terdapat khabar angin yang menyatakan ramai bekas ahli menunjukkan minat untuk menyertai perjuangan parti itu semula.
“Dengar-dengar ramai orang nak datang, tapi (setakat ini) belum ada. Saya ingat mungkin lepas Hari Raya Aidilfitri barulah berbondong-bondong orang akan memohon untuk kembali kepada UMNO,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Juadah Hari Raya 2026 Kerajaan Negeri Perak kepada pasukan beruniform di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini hari ini.
Menurut Saarani yang juga Menteri Besar Perak, inisiatif Rumah Bangsa tidak dilaksanakan secara berasingan oleh negeri kerana ia dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan diuruskan secara terus oleh ibu pejabat UMNO.
Bagaimanapun katanya, Perhubungan UMNO negeri tetap akan terlibat dalam melaksanakan peranan dan tugas berkaitan inisiatif tersebut.
“Setakat ini tiada borang khas disediakan bagi tujuan itu kerana penyertaan semula dibuka kepada mana-mana bekas ahli sama ada yang pernah dipecat, digantung keahlian atau meninggalkan parti.
“Penyertaan itu juga adalah secara terbuka tanpa sebarang syarat daripada kedua-dua pihak.
“Maknanya kedua-dua pihak tanpa syarat. Kita tidak meletakkan syarat kepada mereka dan mereka juga tidak boleh menetapkan syarat tertentu jika mahu kembali menyertai UMNO,” katanya.
Sementara itu, mengulas situasi di mana menyaksikan pimpinan dari Perak paling ramai dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saarani berkata, pihaknya mengalu-alukan mereka sekiranya ingin kembali kepada UMNO.
“Sama ada mereka nak bina parti baharu atau guna pakai parti lama, ia terpulang namun kita tidak boleh memaksa orang untuk memilih kita.
“Begitu juga kalau di kalangan mereka memilih untuk kembali bersama dalam UMNO, kita mengalu-alukan mereka. Saya tidak dapat beri komen panjang tentang itu, sebab terpulang kepada individu tersebut,” katanya. – UTUSAN










