KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan mencabul seorang wanita, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Nor Syafrien, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa dengan sengaja telah melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa berusia 25 tahun di sebuah kondominium di Taman OUG, Brickfields, di sini, pada pukul 11 malam, 26 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula, Mohd Nor didakwa mencabul kehormatan mangsa di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin yang tidak mencadangkan sebarang jaminan. Tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac ini bagi tarikh serahan dokumen. – UTUSAN









