SHAH ALAM: Polis akan mengambil keterangan daripada pihak pengurusan sebuah kolej di Glenmarie berhubung kes cabul dan liwat melibatkan dua pelajar berusia 15 tahun yang bersekolah di institusi berkenaan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, semakan awal pihaknya terhadap kolej tersebut mendapati pengurusannya tidak membuat semakan latar belakang sebelum mengambil suspek bekerja.
“Suspek berkhidmat di kolej di Glenmarie itu selama kira-kira dua tahun. Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada kakitangan kolej, pihak pengurusan tidak membuat semakan rekod lampau jenayah semasa proses pengambilan bekerja.
“Oleh demikian, mereka tidak mengetahui suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan seksual. Rakaman percakapan pihak pengurusan kolej akan diambil bagi mengesahkan perkara tersebut dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, sehingga kini polis sudah merekodkan keterangan daripada dua individu iaitu pengadu dan juga bapa suspek.
“Rakaman percakapan saksi-saksi lain yang berkaitan sedang diatur bagi melengkapkan siasatan.
“Suspek kini ditahan reman dan siasatan masih diteruskan, termasuk melengkapkan rakaman percakapan saksi, bukti digital serta laporan perubatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” ujarnya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, dua kanak-kanak lelaki mendakwa dicabul dan diliwat oleh pekerja tempat mereka bersekolah dekat sebuah kolej di Glenmarie, di sini.
Sarudin Samah memberitahu, polis menerima laporan pada Jumaat lalu daripada kedua-dua pelajar berusia 15 tahun itu yang mendakwa kejadian itu berlaku dekat tandas asrama dan rumah suspek.
Beliau memaklumkan, suspek kemudian ditahan polis dekat sebuah restoran di sini, pada awal pagi semalam. – UTUSAN










