PETALING JAYA: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menawarkan khidmat pro bono pada keluarga penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah semalam.
Pengerusi Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya insiden kematian tragis di Jalan Raya Barat, Klang itu kerana ia bukan sekadar satu kemalangan tetapi satu bentuk kecuaian melampau.
Beliau berkata, pihaknya akan menawarkan khidmat perundangan secara pro bono kepada keluarga mangsa termasuk nasihat guaman, pemantauan rapi prosiding kes dan representasi di mahkamah bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.
Jelasnya, ia juga bagi mendapatkan pampasan yang dibenarkan oleh undang-undang akibat kecuaian tersebut.
“PEMBELA menegaskan bahawa perbuatan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu jenayah serius yang tidak boleh dipandang ringan.
“Sebarang bentuk kelonggaran atau layanan lunak terhadap pelaku hanya akan menghantar mesej yang salah kepada masyarakat dan membuka ruang kepada lebih banyak tragedi seumpamanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda City, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, dipercayai memandu secara laju dan berbahaya dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.
Zainul Rijal berkata, meminum minuman memabukkan perlu dikawal dengan lebih tegas lagi oleh kerajaan.
Katanya, premis yang menawarkan minuman yang memabukkan ini juga perlu bertanggungjawab secara kediri bagi menghalang pelanggan mereka memandu dalam keadaan mabuk.
“PEMBELA mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan yang paling tegas di bawah undang-undang, termasuk memastikan pendakwaan dijalankan secara segera dan menyeluruh serta hukuman yang setimpal dikenakan.
“Kegagalan berbuat demikian adalah satu pengkhianatan terhadap keadilan dan keselamatan awam. Nyawa yang telah hilang sudah pasti tidak akan kembali. Namun, keadilan tidak boleh dikompromi.
“Pada masa ini keluarga mangsa perlu dibantu agar kesusahan yang dihadapi dapat diringankan. Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan konsep ‘diyat’ bagi meringankan kesusahan keluarga mangsa,” katanya. – UTUSAN










