PETALING JAYA: Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan nadir bumi yang diproses di Malaysia digunakan sebagai sumber bahan bagi menyokong industri peperangan kuasa besar dunia.
Pengerusinya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, laporan mengenai perjanjian bernilai RM450 juta antara syarikat pelombong nadir bumi Australia yang beroperasi di Pahang, Lynas dengan Pentagon pada Mac lalu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Menurutnya, Malaysia sebagai negara yang konsisten memperjuangkan keamanan dan menolak penindasan tidak seharusnya terpalit dengan persepsi bahawa sumber yang diproses di negara ini menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan industri ketenteraan.
“Kerajaan perlu memastikan setiap aktiviti berkaitan nadir bumi mematuhi prinsip ketelusan, tadbir urus baik serta kepentingan negara. Nadir bumi bukan lagi komoditi perdagangan biasa. Mineral ini mempunyai nilai strategik tinggi untuk teknologi canggih termasuk sistem radar, peluru berpandu, pesawat pejuang, dron dan kapal selam.
“Pendirian tegas negara dalam menyokong hak rakyat Palestin dan menggesa penyelesaian damai konflik antarabangsa tidak seharusnya dicemari oleh rantaian bekalan industri peperangan,” katanya dalam kenyataan.
Zainul berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan telus kepada rakyat mengenai dasar eksport nadir bumi, termasuk kewujudan mekanisme bagi memantau destinasi akhir penggunaan bahan tersebut.
Beliau berkata, pengurusan sumber strategik ini tidak boleh hanya melihat kepada keuntungan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira implikasi keselamatan, geopolitik dan tanggungjawab moral.
“Malaysia tidak boleh dilihat cenderung memihak kepada mana-mana kuasa besar sehingga menjejaskan dasar berkecuali dan hubungan baik dengan negara-negara lain.
“Keuntungan yang diperoleh tidak seharusnya mengorbankan prinsip keamanan yang menjadi asas pendirian negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya kini menggesa kerajaan membangunkan Dasar Mineral Kritikal Nasional yang lebih komprehensif bagi mengimbangi pelaburan asing dengan perlindungan kedaulatan negara.
Katanya, Pembela mencadangkan agar Parlimen, pakar industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dilibatkan secara inklusif dalam merangka dasar tersebut agar ia lebih menyeluruh dan telus.
“Syarikat yang beroperasi dalam sektor ini juga mestilah tertakluk kepada piawaian tadbir urus yang tinggi serta melakukan due diligence yang ketat terhadap rantaian bekalan mereka bagi mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Sumber strategik ini adalah amanah negara yang perlu diurus dengan kebijaksanaan agar manfaat ekonominya tidak mengatasi tanggungjawab kemanusiaan sejagat,” katanya. – UTUSAN







