PETALING JAYA: Pas tidak bersedia untuk menyertai gagasan Rumah Bangsa yang ditawarkan UMNO kerana menyifatkan platform tersebut seolah-olah berada di bawah bumbung yang tidak selamat.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keadaan itu diibaratkan seperti berteduh di bawah payung buruk yang sudah rosak dan tidak mampu menahan hujan lebat selain mempunyai besi-besi tajam yang boleh membahayakan.
Beliau berkata, lebih berbahaya lagi jika ia diibaratkan sebagai rumah yang tidak beratap dan berdinding sehingga dimasuki hantu yang menjadi penunggu dan membahayakan penghuninya.
“Akibatnya, godaan yang menyebabkan seseorang beriman dengan sebahagian kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain akan membawa kepada bahaya dan akibat lebih besar.
“Demikianlah amaran Allah. Pas tidak bersedia berada dalam ‘rumah besar’ yang tidak beratap dan tercabut dindingnya sehingga boleh dimasuki unsur yang melalaikan.
“Bagaimanapun, Pas telah menghantar pemerhati ke satu perjumpaan bagi memenuhi jemputan Rumah Bangsa yang diiklankan UMNO bagi melihat sendiri pihak yang hadir walaupun tanpa kehadiran wakil DAP,” katanya menerusi Minda Presiden Pas hari ini.
Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut dilihat sebagai usaha menganjurkan perpaduan Melayu berasaskan semangat kebangsaan tanpa berteraskan Islam.
Beliau mendakwa keadaan itu berlaku kerana masih wujud hubungan dengan DAP semata-mata bagi membentuk kerajaan walaupun terpaksa meninggalkan prinsip asal perjuangan.
“Penting untuk memastikan pihak yang boleh dipercayai sebagai rakan dan mengelakkan pihak yang boleh merosakkan urusan agama serta kehidupan dunia,” katanya.
Abdul Hadi turut mendakwa terdapat ahli UMNO sendiri yang berdepan keraguan kerana berlawanan dengan perjuangan asal parti itu yang meletakkan agama sebagai sebahagian daripada dasar.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ada yang meninggalkan UMNO dan menyertai Pas, manakala sebahagian lagi masih berpegang kepada prinsip bahawa Islam dan Melayu perlu menjadi teras kepimpinan.
“Pas berpandukan hidayah Allah dalam mengadakan hubungan dengan semua pihak bagi menyampaikan Islam kepada seluruh masyarakat majmuk tanpa paksaan serta berkonsepkan keadilan kepada semua.
“Pendekatan itu dilakukan secara terbuka dan positif tetapi tetap berhati-hati supaya tidak tersilap dalam memilih rakan kerjasama.
“Pada masa sama, terdapat juga pemimpin UMNO yang lebih mengutamakan kepercayaan Melayu berbanding Islam sehingga sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mendapatkan kuasa dan harta.
“Terdapat juga pihak yang terlibat dalam amalan yang bercampur antara doa dengan unsur syirik,” katanya.
Tambah beliau, Pas dan ahlinya yang beristiqamah tidak terpengaruh dengan umpan dan tipu daya tersebut yang telah lama digunakan dalam kalangan UMNO dan berterusan apabila parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, pendekatan tersebut juga gagal mempertahankan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga membawa kepada pembentukan kerajaan perpaduan minoriti yang bergantung kepada sokongan pihak tertentu.
“Pendekatan ini hanya mampu menarik sebahagian pengundi warga tua serta sokongan bukan Islam.
“Namun, pengundi muda yang semakin matang menolak PH sejak PRU15 sebagaimana mereka menolak Barisan Nasional (BN) sebelum ini kerana gabungan tersebut disifatkan bekerjasama dengan pihak yang dianggap musuh Islam,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian orang Melayu turut menjadi pendukung kepada gabungan tersebut sehingga menjenamakan UMNO bersama parti-parti lain yang berada dalam satu saf dengannya.
Beliau turut mengaitkan keadaan itu dengan kisah Bani Israil yang menurutnya sesat selama 40 tahun sebelum muncul generasi baharu yang bangkit menunaikan perintah Allah.
Katanya, keadaan sama berlaku dalam politik apabila sebahagian pengundi masih terpengaruh dengan politik wang, namun lahir generasi muda yang lebih sedar dan menolak pendekatan tersebut. – UTUSAN










