KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan MyRMK, sistem pemantauan bersepadu bagi menilai kemajuan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sistem itu membolehkan Putrajaya menjejak dan menilai pencapaian strategi serta objektif yang ditetapkan di bawah RMK13 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh lima tahun pelaksanaan.
“Sasaran kita adalah untuk memulakan pada suku ketiga supaya, sepanjang tempoh lima tahun, kita dapat menilai sejauh mana strategi dan objektif yang ditetapkan di bawah RMK13 berjaya dicapai,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan–Kota Belud) sejauh mana sistem pemantauan bersepadu RMK13 akan diselaraskan dengan sistem MyProject milik Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Menurut Akmal, MyProject memantau projek daripada permulaan hingga siap, manakala MyRMK pula memberi fokus kepada pencapaian objektif strategik RMK13. Sebarang kelewatan projek akan turut dicerminkan dalam prestasi keseluruhan kerajaan.
Mengenai akses orang ramai, beliau berkata, kementerian bercadang untuk menerbitkan laporan prestasi berkala di papan pemuka laman sesawang RMK13 supaya rakyat dapat menilai kemajuan projek secara langsung.
Katanya, MyRMK akan disokong oleh dua platform utama iaitu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Teknikal dan Jawatankuasa Perancangan Antara Agensi.
“Forum-forum ini akan bermesyuarat secara berkala bagi menangani isu teknikal dan memastikan campur tangan tepat pada masanya.
“Sistem ini bukan sekadar untuk pelaporan; ia juga membantu mengenal pasti di mana campur tangan diperlukan,” jelas beliau.
Selain itu, laporan prestasi MyRMK akan dibawa ke peringkat lebih tinggi melalui Jawatankuasa Perancang Pembangunan Negara dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), masing-masing dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Perdana Menteri.
Akmal berkata, pendekatan bersepadu itu diharap dapat memastikan semua projek di bawah RMK13 dilaksanakan mengikut jadual, selaras dengan matlamat pembangunan nasional dan memberi manfaat kepada rakyat.-UTUSAN










