PETALING JAYA: Pelakon, Nadia Brian, 34, berharap tindakan diambil terhadap pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang baru-baru ini bertindak biadab dengan memijak kitab suci Al-Quran.
Menyifatkan tindakan pelaku sebagai biadab, Nadia, menerusi perkongsian dalam Threads berpendapat individu terbabit wajar menerima hukuman atas kesalahannya.
“Saya harap pelaku biadab itu dihukum dengan keras oleh pihak berkuasa,” kongsinya.
Terdahulu seorang penuntut sebuah IPTA di Kuantan Pahang, ditahan pihak berkuasa selepas bertindak memijak Al-Quran dan memuat naik perkara itu di media sosial.
Mengulas isu sama, Nadia dalam pada itu mengakui jelas dengan maksud yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan penggunaan perkataan ‘melalak’ menerusi kenyataan beliau mengenai isu berkenaan baru-baru ini.
“Sejak awal saya rasa perkataan ‘melalak’ tidak sesuai sebagai seorang perdana menteri keluarkan kepada rakyat yang tengah marah.
“Tetapi, selepas beberapa penjelasan rakan-rakan dalam Threads, nampaknya perdana menteri merujuk kepada mereka-mereka yang hanya bercakap tanpa tindakan, hanya melontarkan komen kosong,” kongsinya lagi. – UTUSAN










