Baitulmal tanggung kos RM6,000, pembedahan Muhammad Mikail disegerakan

Baitulmal tanggung kos RM6,000, pembedahan Muhammad Mikail disegerakan

SHAM Mat Sahat (kiri) melawat keluarga kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghadapi masalah kewangan untuk menjalani pembedahan kaki di Bagan Serai, Perak hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Hasrat pasangan suami isteri, Muhammad Rizal Azlan dan Siti Fatimah Sani untuk melihat anak mereka, Muhammad Mikail Rafanza, 3, yang menghidap pelbagai komplikasi kesihatan menjalani pembedahan kaki, mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kos pembedahan kaki kanak-kanak itu sebanyak RM6,000 dijamin sepenuhnya oleh baitulmal.

“Semalam saya telah mendapat arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menziarahi keluarga ini bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keperluan mereka.

“Sebelum ini, pembedahan yang dijadualkan pada 10 Mac ini terpaksa ditangguhkan kerana kekangan kewangan keluarga. Bagaimanapun, pihak baitulmal memberi jaminan untuk menanggung sepenuhnya kos pembedahan berkenaan dalam masa terdekat.

“Justeru, kita menggesa Hospital Ipoh agar dapat mempertimbang untuk menyegerakan tarikh pembedahan kerana keadaannya memerlukan perhatian segera dan isu kewangan tidak lagi menjadi kekangan,” katanya ditemui selepas melawat keluarga itu di Parit Mentara 3 di sini, hari ini.

PASANGAN Muhammad Rizal Azlan dan Siti Fatimah Sani bersama Muhammad Mikail Rafanza yang memerlukan bantuan.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Muhammad Mikail dijadual menjalani pembedahan memasukkan plat besi pada lutut bagi mengawal pertumbuhan tulang susulan keadaan sebelah kakinya lebih pendek dan masalah lutut yang tidak boleh diluruskan.

Kanak-kanak itu turut disahkan mengalami kecacatan tulang belakang, jantung berlubang, tiada buah pinggang kiri serta dilahirkan tanpa lubang dubur dan menjalani rawatan susulan berkala di Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Taiping.

Pembedahan yang pada asalnya dijadualkan pada 10 Mac ini terpaksa ditangguhkan berikutan keluarganya gagal mengumpul RM6,000 bagi menampung kos rawatan dalam tempoh terdekat.

Sham berkata, JKM turut menyalurkan bantuan segera secara sekali bayar kepada keluarga tersebut.

“Turut dipertmbangkan ialah bantuan bulanan kira-kira RM500 bagi membantu menampung kos penjagaan kanak-kanak itu, termasuk susu khas, lampin pakai buang dan perbelanjaan rawatan susulan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN