LONDON: Seorang lelaki menyaman pihak polis selepas perisian pengecaman wajah tersilap mengenalinya sebagai seorang suspek pecah rumah di sebuah bandar kira-kira 161 kilometer jauhnya di Britain.
Alvi Choudhury, 26, sedang bekerja dari rumah di Southampton di rumah yang dikongsinya dengan ibu bapanya apabila anggotai polis menangkap dan menahannya selama 10 jam sebelum dia akhirnya dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut pada pukul 2 pagi waktu tempatan.
Perisian pengecaman wajah automatik yang digunakan oleh Polis Thames Valley telah menyamakan wajahnya dengan seorang suspek pecah rumah di Milton Keynes.
Namun, Choudhury mendakwa rakaman televisyen litar tertutup ( CCTV) mengenai jenayah yang didakwa itu menampilkan seorang lelaki lebih muda dan berbeza dengan dirinya dari segi fizikal kecuali rambut keriting.
Kini, lelaki tersebut menuntut ganti rugi daripada Polis Thames Valley dan wilayah Hampshire yang menahannya, dengan alasan jiran-jirannya menyaksikan penangkapan beliau pada Januari lalu.
Polis Thames Valley menyatakan keputusan untuk menahan Choudhury dibuat selepas penilaian visual manusia dan padanan teknologi.
Bagaimanapun, pihak polis mengakui kesilapan itu “mungkin disebabkan oleh bias dalam teknologi pengecaman wajah”.
Penangkapan itu menyebabkan bapanya bimbang dan membuatkan beliau tidak dapat bekerja pada hari berikutnya.
Choudhury akhirnya dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut pada pukul 2 pagi waktu tempatan..
Padanan yang dibuat menggunakan teknologi pengecaman wajah memerlukan gambar suspek disimpan dalam sistem polis.
Wajah Choudhury berada dalam pangkalan data selepas beliau ditangkap secara salah pada 2021 apabila diserang semasa keluar malam di Portsmouth. – AGENSI










