IPOH: Kerja-kerja menaik taraf kemudahan termasuk penukaran rumput padang di Stadium Perak dijangka siap sepenuhnya pada akhir Mac hingga April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ini diikuti tempoh pematangan rumput sebelum padang boleh digunakan secara optimum sekitar bulan Ogos atau September.
Menurutnya, projek naik taraf di Stadium Perak telah bermula pada Jun 2025 dan setakat ini kemajuan fizikal projek telah mencapai kira-kira 75 peratus.
“Projek tersebut mengalami dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal susulan pelaksanaan kerja tambahan dan penyelarasan teknikal.
“Namun langkah ini dianggap perlu bagi memastikan kualiti padang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita ketika meninjau perkembangan terkini projek naik taraf padang Stadium Perak yang sedang dilaksanakan di sini hari ini.
Menurutnya, projek naik taraf itu melibatkan peruntukan Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Bandaraya Ipoh serta kerajaan negeri dengan kos asal RM800,000 bagi kerja-kerja penggantian padang dan penambahbaikan asas kemudahan.
Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan projek, penilaian teknikal bersama jabatan berkaitan dan perunding pakar telah mengenal pasti beberapa keperluan tambahan bagi meningkatkan kualiti serta ketahanan padang dalam jangka masa panjang.
“Antaranya termasuk pengubahsuaian sistem saliran bawah tanah bagi mempercepatkan aliran air dan mengurangkan risiko takungan, pembinaan saliran perimeter bagi mengasingkan aliran air daripada trek larian dan pemasangan sistem siraman automatik jenis pop-up sprinkler yang tidak termasuk dalam skop asal projek.
“Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Ipoh telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM413,000 bagi pemasangan sistem sprinkler automatik melibatkan 24 unit nozzle bagi memastikan siraman air lebih sekata dan konsisten ke seluruh permukaan padang,” katanya.
Menurutnya, keputusan menambah sistem itu dibuat selepas semakan teknikal mendapati pemasangan perlu dilaksanakan sebelum kerja penanaman rumput bagi mengelakkan risiko kerosakan struktur padang serta kos pembaikan pada masa hadapan.
“Sebelum ini, kaedah siraman dilakukan secara manual dan bergantung kepada tenaga kerja, sekali gus menyebabkan pengagihan air kurang konsisten,” katanya. – UTUSAN











