MPE tingkat pembangunan usahawan menerusi sektor perdagangan

MPE tingkat pembangunan usahawan menerusi sektor perdagangan

GOH Choon Aik (tengah) ketika menerima kunjungan delegasi MPE di pejabatnya di Komtar, George Town, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) kini sedang menjalin kerjasama progresif dengan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam usaha meningkatkan pembangunan usahawan menerusi sektor perdagangan.

Presiden MPE, Khoo Chin Wei berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya berharap dapat memperluas peluang perdagangan sekali gus mempromosikan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di sini melalui bidang keusahawanan.

Beliau berkata, MPE juga memahami bahawa ada dalam kalangan usahawan yang terjejas susulan kemelut yang melanda Asia Barat ketika ini dan memberi jaminan untuk terus membantu mereka dengan memberi penekanan terhadap pembangunan dalam sektor tersebut.

“Justeru, kami berusaha untuk menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan Pulau Pinang menerusi perbincangan dua hala yang menyentuh beberapa aspek atau potensi kerjasama khususnya dalam memperluas peluang perdagangan ini,” katanya di sini, hari ini.

Chin Wei sebelum itu mengetuai delegasi MPE bagi mengadakan kunjungan rasmi ke pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini.

Mengulas mengenai kunjungan tersebut, beliau memberitahu, MPE telah menyatakan hasrat mereka untuk menjadi sebuah organisasi yang teguh dalam memperkasa usahawan serta sentisa berusaha untuk memperkukuh pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memupuk inovasi dalam komuniti perniagaan.

“Dalam hal ini, MPE berharap dapat membina satu kerjasama yang kukuh dan berimpak bersama kerajaan negeri Pulau Pinang ke arah satu ekosistem ekonomi yang lebih dinamik, inklusif serta berdaya tahan,” ujarnya.

Terdahulu, MPE turut membuat satu kunjungan rasmi ke pejabat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, dalam usaha memperkenalkan organisasi terbabit sebagai sebuah platform dinamik yang komited dalam memperkasa usahawan serta golongan profesional di seluruh Malaysia.

Dalam kunjungan itu, mereka menyatakan komitmen berterusan untuk menumpukan kepada usaha memperkukuh keupayaan usahawan serta golongan profesional tempatan dengan memberi penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan kerjaya dan perniagaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN