Inisiatif pemasangan solar bukti komitmen Pulau Pinang pacu agenda lestari

Inisiatif pemasangan solar bukti komitmen Pulau Pinang pacu agenda lestari

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) ketika menghadiri Majlis Penghargaan Inisiatif CSR oleh First Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. di Bukit Bendera, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Inisiatif pemasangan panel solar di kawasan tumpuan pelancong seperti Bukit Bendera ketika ini merupakan sebahagian daripada bukti komitmen kerajaan Pulau Pinang untuk terus memacu agenda kelestarian secara menyeluruh.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Bukit Bendera merupakan satu lokasi yang cukup istimewa kerana ia menggabungkan alam semula jadi, warisan serta elemen kelestarian dalam satu ekosistem.

Katanya, dengan kehadiran hampir 1.9 juta pengunjung setiap tahun, Bukit Bendera juga menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Justeru, usaha ini dilihat memberi nilai tambah bukan sahaja dari segi teknologi hijau, malah, dari aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat kerana pengunjung dapat melihat secara langsung bagaimana tenaga solar digunakan dalam persekitaran yang sebenar.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini juga selari dengan visi Penang2030 yang menekankan pembangunan seimbang antara ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat pembekal tenaga solar tempatan, First Solar (Malaysia) Sdn. Bhd. di Bukit Bendera di sini, hari ini.

Projek pemasangan solar di Bukit Bendera adalah hasil inisiatif bersama oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) bersama First Solar dan telah bermula sejak Jun 2022 di Edgecliff Gallery sebelum ia diperluaskan ke Stesen Bawah serta Stesen Bukit Bendera di sini.

Sehingga kini, sebanyak 600 panel solar telah dipasang di beberapa lokasi utama di kawasan itu sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, peralihan kepada tenaga bersih kini semakin mendapat momentum dan Pulau Pinang juga komited untuk menjadi sebahagian daripada perubahan tersebut.

“Peratusan kapasiti tenaga boleh diperbaharui di negeri ini telah meningkat daripada 1.5 peratus pada 2019 kepada lima peratus pada tahun 2024 dan ini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha kita ke arah tenaga hijau,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN