GEORGE TOWN : Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) memberi jaminan akan menyegerakan sebarang kerja-kerja pembaikan fasiliti serta kemudahan di sekolah yang rosak seperti kipas bagi memberi keselesaan kepada murid ketika belajar dalam keadaan cuaca yang panas.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pada masa yang sama, pihaknya akan memastikan bahawa tingkap-tingkap yang digunakan di bilik darjah boleh dibuka untuk pengudaraan yang lebih baik.
“Saya dah minta supaya kita semak balik perkara ini. Mana-mana sekolah yang ada masalah dengan kipas dan sistem pengudaraan dalam bilik darjah, kita tengok lebih awal lah. Insya-Allah, kita akan segerakan (kalau perlu diperbaiki) bagi memberi keselesaan kepada anak-anak ini untuk belajar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turun padang meninjau kesediaan sekolah untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan berkaitan cuaca panas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohamad Dziauddin berkata, JPNPP telah mengadakan satu sesi libat urus bersama semua 900 buah sekolah termasuk pejabat pendidikan daerah (PPD) di seluruh Pulau Pinang, Jumaat lepas bagi membincangkan secara terperinci mengenai garis panduan berkenaan.
“Dalam libat urus itu, kita bagi taklimat dan ruang soalan untuk mereka kerana pihak kementerian (Kementerian Pendidikan) sendiri telah keluarkan garis panduan yang sangat jelas tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat.
“Jadi, kita cuma mahu yakinkan pentadbiran sekolah terutamanya bahawa mereka ada kuasa autonomi untuk membuat keputusan tentang pemakaian yang sesuai mengikut garis panduan kementerian dan sebagainya agar mereka lebih jelas mengenai perkara tersebut,” katanya.
Tambah Mohamad Dziauddin, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati kerana rata-rata sekolah dan pejabat PPD telah membuat persediaan awal seperti memaklumkan kepada ibu bapa mengenai jadual pemakaian baju T yang sesuai ketika cuaca panas dan sebagainya.
“Alhamdulillah, hasil tinjauan saya hari ini juga, anak-anak khususnya ramai yang membawa bekal air ke sekolah manakala pihak sekolah juga mengambil inisiatif untuk menyediakan air di kantin serta memperbaiki kemudahan pengudaraan dalam bilik darjah. Itu antara usaha-usaha yang dibuat ketika ini,” katanya.-UTUSAN










