BUKIT MERTAJAM : Kerjasama politik yang diperkukuh oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang ketika ini akan dijadikan sebagai formula paling berkesan bagi menghadapi pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini juga, formula yang sama dilihat praktikal serta berkesan untuk diguna pakai di peringkat lebih tinggi iaitu membabitkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Sebabnya ialah, kalau kita gunakan formula yang lain, mungkin kita akan hilang undi-undi, undi-undi akan pecah dan ini juga mungkin membawa kepada kehilangan kerusi dan sebagainya sehingga semua masalah yang berlaku ini boleh dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang.
“Pada peringkat ini iaitu di bawah Kerajaan Perpaduan, mungkin setiap parti ada ‘pemikiran’ yang tersendiri. Tetapi, di Pulau Pinang, kami (PH-BN) akan berasa lebih kuat apabila bersama,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka PH Pulau Pinang di sini, malam ini.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Pengerusi DAP negeri, Steven Sim Chee Keong serta beberapa pemimpin politik yang lain daripada Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, beliau percaya Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang ketika ini menerima sokongan yang baik daripada rakyat berdasarkan prestasi semasa kerajaan negeri, agensi-agensi berkaitan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Kita yakin dengan pencapaian kita. Baik dari segi pembangunan ekonomi dan cabaran-cabaran yang ada, kita masih kekal sebagai sebuah negeri maju yang dapat mempertahankan pelaburan asing, membawa kilang-kilang, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan sebagainya.
“Dari segi pembangunan sosial dan agama pula, kita masih teruskan dengan agenda kita. Di Pulau Pinang, kita sudah lama hidup bersama dalam suasana yang saling memahami dan kita juga bersedia menghadapi sebarang isu yang cuba dimainkan oleh parti lawan terutamanya menerusi media sosial,” katanya.
Terdahulu, Musa ketika berucap sempena majlis itu berkata, UMNO dan BN juga berikrar akan terus mempertahankan kerjasama dengan PH di Pulau Pinang pada pilihan raya yang akan datang.
“Kami tak pernah ‘tikam kawan dari belakang’. Kami setia kepada Kerajaan Perpaduan dan akan terus menyokong kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang,” ujar beliau.-UTUSAN











