GEORGE TOWN : Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di Pulau Pinang dianggap sebagai jalan penyelesaian terakhir iaitu sekiranya cuaca panas di negeri ini menjadi semakin teruk.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, hal ini demikian kerana, pihaknya tidak mahu berlaku sebarang keciciran pembelajaran yang sangat besar dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.
“Kalau di Kedah, ya. Situasi di sesetengah kawasan di sana memang memerlukan pelaksanaan PdPR. Tetapi, dalam konteks kita di Pulau Pinang, kita masih lagi boleh mengadakan kelas bersemuka seperti biasa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika turun padang meninjau kesediaan sekolah untuk mematuhi garis panduan yang ditetapkan berkaitan cuaca panas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor di sini, hari ini.
Mengulas mengenai aktiviti pendidikan jasmani (PJ) di sekolah pula, Mohamad Dziauddin berkata, buat masa ini, ia masih boleh dilaksanakan seperti biasa, namun, secara bersyarat.
Katanya, antara syarat yang ditetapkan ialah aktiviti tersebut hanya boleh dilakukan pada waktu awal pagi sahaja atau dijalankan di kawasan yang berbumbung.
“Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti kokurikulum. Kalau boleh, buatlah di kawasan yang berbumbung sahaja buat masa ini sebab kebanyakan sekolah sekarang sudah ada dewan terbuka yang berbumbung untuk kemudahan aktiviti murid dan pelajar,” katanya.-UTUSAN










