Mohd. Yadzil masih Ketua Pembangkang DUN Melaka - Utusan Malaysia

Mohd. Yadzil masih Ketua Pembangkang DUN Melaka

IBRAHIM DURUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka masih kekal, berikutan belum ada pemakluman secara rasmi berkenaan pemecatannya oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Yang Dipertua DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum berkata, sebarang perubahan jawatan ketua pembangkang perlu disahkan secara rasmi oleh parti terlibat, sebelum pihaknya boleh membuat tindakan lanjut.

Katanya, pelantikan ketua pembangkang baharu akan ditentukan pada Sidang DUN yang dijadualkan berlangsung pada Mei ini.

“Setakat ini, saya masih belum menerima pengesahan rasmi berhubung kedudukan beliau (Mohd. Yadzil) daripada Bersatu.

“Saya telah menghantar surat kepada pihak parti bagi mendapatkan maklum balas dan pengesahan berkaitan status beliau.

“Sekiranya dalam tempoh yang diberikan tiada sebarang keputusan atau pengesahan rasmi diterima, maka dewan mempunyai hak untuk membuat penentuan selaras dengan peraturan-peraturan tetap dan amalan sedia ada. Keputusan tersebut adalah muktamad,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Yadzil merupakan antara 17 ahli Bersatu yang dipecat baru-baru ini termasuk empat ahli Parlimen dan dua ADUN.

Ibrahim berkata, selain Mohd. Yadzil, hanya terdapat dua ADUN pembangkang iaitu ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof (Bersatu) dan ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (Pas).

Beliau berkata, pelantikan ketua pembangkang lazimnya ditentukan berdasarkan perakuan rasmi parti yang mempunyai kerusi dalam blok pembangkang.

Jelasnya, secara prinsip, parti atau gabungan perlu mencapai persetujuan dalaman terlebih dahulu untuk menamakan calon ketua pembangkang.

“Kebiasaannya, keputusan dibuat melalui rundingan antara parti-parti dalam blok pembangkang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN