PEKAN: Kehidupan sederhana masyarakat Orang Asli etnik Jakun yang bergantung kepada hasil tasik dan hutan mendapat perhatian apabila seorang wanita masyarakat itu berkongsi kisah melalui siaran di laman Facebooknya.
Juliana Selemy, 34, yang lebih dikenali dengan nama Meylik Mert kerap memaparkan kehidupan harian masyarakat Orang Asli di sekitar Tasik Chini, sekali gus memberi pendedahan kepada orang luar mengenai budaya serta cara hidup komuniti tersebut.
Dalam beberapa hantaran di Facebooknya, beliau berkongsi bagaimana masyarakat Orang Asli di kawasan Kampung Tasik Chini masih mengekalkan kehidupan tradisional yang harmoni serta bergantung kepada sumber alam termasuk menoreh getah sebagai sumber pendapatan.
Katanya, sebahagian besar penduduk menjadikan tasik sebagai sumber rezeki dengan bekerja sebagai nelayan tasik bagi menangkap ikan air tawar.
“Antara spesies ikan yang popular ditangkap ialah toman, haruan, loma, lambak dan beberapa jenis ikan lain yang masih banyak terdapat di tasik berkenaan kerana airnya yang masih bersih serta tidak tercemar,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Orang Asli (KOA) Tasik Chini di sini.
Menurut Juliana, jika hasil tangkapan berlebihan, ikan tersebut dijadikan pekasam untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada penduduk sekitar.
Selain menangkap ikan, masyarakat Orang Asli juga mengutip ayur-sayuran hutan untuk dijadikan makanan harian. Antara yang sering diperoleh ialah pucuk cemperai, pucuk gegeli, asam paya, kerdas serta buah jering yang biasanya dimakan sebagai ulam atau dijadikan hidangan kampung oleh penduduk setempat.
Katanya, kehidupan masyarakat Orang Asli sebenarnya sederhana namun dipenuhi nilai kebersamaan apabila penduduk saling membantu antara satu sama lain. – UTUSAN










