PUTRAJAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dijangka meneruskan beberapa perbincangan dengan pihak Amerika Syarikat (AS) berhubung isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART).
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini telah diberi taklimat ringkas berhubung isu berkenaan oleh Johari.
“Jemaah Menteri diberi sedikit taklimat ringkas oleh Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan difahamkan bahawa beliau akan meneruskan beberapa perbincangan dengan pihak Washington DC.
“Jadi pada waktu ini belum ada maklumat tambahan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan belum menerima sebarang hitam putih daripada AS berhubung sebarang keputusan pembatalan ART secara rasmi, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif global dikenakan Presiden Donald Trump.
Johari menjelaskan dalam tempoh lima bulan, pihak AS akan membuat semakan bagi menentukan kadar tarif baharu.
Media antarabangsa pada Februari lalu melaporkan, Mahkamah Agung AS memutuskan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh Presiden Donald Trump untuk mengenakan apa yang digelar tarif ‘timbal balas’ ke atas hampir semua rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan. – UTUSAN










