PETALING JAYA: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan aliran trafik mencecah 3.49 juta kenderaan di lebuh raya utama seluruh negara pada hari puncak sempena Aidilfitri, susulan pemberian diskaun tol oleh kerajaan.
LLM dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan trafik dijangka bermula esok khususnya melibatkan pergerakan pengguna ke arah Utara, Selatan dan Pantai Timur bagi pulang ke kampung halaman.
Katanya, unjuran tertinggi direkodkan di lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS dengan anggaran 2.30 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 295,000 kenderaan serta Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) sebanyak 215,000 kenderaan.
“Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak dianggarkan menerima 210,000 kenderaan, Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) sebanyak 159,000, Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) 135,000, manakala Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 dan 2 masing-masing mencatatkan 106,000 dan 65,000 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, LLM menyambut baik keputusan kerajaan yang memberikan diskaun tol sekitar 50 peratus kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sempena Aidilfitri yang dilaksanakan bermula pukul 12.01 tengah malam 18 Mac hingga 11.59 malam 19 Mac ini.
Katanya, langkah itu dijangka menyumbang kepada peningkatan aliran trafik, berikutan ramai pengguna mengambil peluang pulang ke kampung lebih awal.
“Sehubungan itu, LLM telah mengarahkan semua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat.
“Antaranya termasuk tiada penutupan lorong kecuali bagi kecemasan sepanjang tempoh 18 hingga 30 Mac, pengaktifan 34 lokasi smart lane di Lebuhraya PLUS serta memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik,” katanya.
Selain itu, pemeriksaan operasi lebuh raya dan kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah turut dipertingkatkan, termasuk penyediaan 65 tandas mudah alih, bekalan air mencukupi serta penambahan parkir dan petugas termasuk anggota RELA.
LLM turut menasihatkan pengguna lebuh raya agar merancang perjalanan dengan teliti serta mematuhi semua peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan keselamatan sepanjang perjalanan pulang berhari raya. – UTUSAN










