KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menambah sebanyak 228 perjalanan tren bagi memenuhi permintaan pengguna untuk pulang ke kampung halaman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tren tambahan yang akan beroperasi bermula 17 hingga 29 Mac ini melibatkan 196 trip perjalan perkhidmatan ETS dan 32 lagi pula perkhidmatan EMUPlus.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, perkhidmatan ETS dan EMUPlus akan beroperasi dengan sebanyak 64 perjalanan sehari dan pengoperasian itu hampir mencapai tempoh 24 jam.
“Selain itu, KTMB juga berkeupayaan menambah perjalanan tren ETS sehingga maksimum 70 perjalanan sehari, tertakluk kepada permintaan penumpang.
“Inisiatif ini merupakan penambahan perkhidmatan tren terbesar pernah dilaksanakan dalam pengoperasian KTMB setakat ini, sebagai komitmen berterusan kerajaan dan KTMB untuk memastikan lebih ramai rakyat dapat pulang ke kampung halaman dengan selesa dan selamat,” katanya semasa sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 Kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, di sini hari ini.
Sementara itu, Anthony Loke berkata, sebanyak 251,752 tiket perjalanan disediakan iaitu melebihi 133,312 tiket pada tahun lalu.
Beliau berkata, sebanyak 71,728 tempat duduk tambahan tersedia kepada kepada para pengguna sepanjang tempoh operasi Aidilfitri ini.
“Dengan inisiatif ini, jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan pada masa ini untuk perkhidmatan ETS dan EMUPlus sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri meningkat kepada 251,752 tempat duduk berbanding hanya 118,440 tempat duduk pada 2025.
“Justeru, pada tahun ini jumlah tempat duduk yang disediakan bagi perayaan Aidilfitri pada tahun ini meningkat sebanyak 113 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 310 anggota Polis Bantuan KTMB akan ditempatkan di semua stesen-stesen utama seperti KL Sentral, Bukit Mertajam, Butterworth, Alor Setar, Arau, Padang Besar bagi mengawal dan menjaga keselamatan para penumpang.
“Pegawai dan kakitangan tambahan turut ditempatkan di stesen bagi bersiap siaga menerima pertambahan penumpang semasa musim perayaan.
“Penugasan pegawai serta kakitangan tambahan juga dilaksanakan bagi memastikan kelancaran operasi dan pergerakan penumpang, di samping menyantuni serta membantu golongan yang memerlukan seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas,” katanya. – UTUSAN










