Mekanisme pemutihan rumah ibadat bukan Islam dimuktamad

Mekanisme pemutihan rumah ibadat bukan Islam dimuktamad

FADILLAH Yusof mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-87 di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Satu mekanisme pemutihan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) sedang dimuktamadkan bagi memastikan penyediaan rumah ibadat bukan Islam dapat dirancang secara lebih tersusun.

Mekanisme itu dicadangkan oleh pihak PLANMalaysia pada Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan  (MNKT) ke-87 kelmarin bagi memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta barisan Exco Kerajaan Negeri, Menteri-menteri Persekutuan berkaitan serta pegawai kanan kerajaan di Bangunan  Perdana Putra, di sini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, selain itu, mesyuarat berkenaan turut memaklumkan status semasa pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) Bagi Kesalahan Pembuangan Sampah Kecil yang dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

“Operasi penguatkuasaan ini telah dilaksanakan secara serentak di beberapa negeri termasuk Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Setakat 10 Mac lalu, sebanyak 1,001 notis kesalahan telah dikeluarkan,  termasuk 213 orang warga asing,” katanya.

KPKT berkata, mesyuarat itu turut bersetuju pelaksanaan Garis Panduan Kerja Ubahsuai Bangunan bagi menyeragamkan prosedur permohonan serta syarat teknikal bagi kerja  pengubahsuaian kediaman dan premis komersial di seluruh negara.

Katanya, garis panduan ini memberikan penjelasan kepada pemilik bangunan mengenai skop kerja yang dibenarkan tanpa menjejaskan aspek keselamatan  struktur, pengudaraan semula jadi serta keharmonian perancangan bandar.

Selain itu, turut dipersetujui garis panduan Pengurusan Perangkap Minyak di Premis Makanan di  Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantapkan sistem pengurusan sisa lemak, minyak dan gris (FOG) di  premis makanan.

“Inisiatif ini bertujuan mengelakkan penyumbatan sistem  perparitan awam serta pencemaran sumber air di kawasan bandar, sekali gus menyokong agenda kelestarian alam sekitar dan mengurangkan kos penyelenggaraan infrastruktur awam oleh PBT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN