BAGAN SERAI: Kenaikan harga diesel kesan konflik perang di Asia Barat memberi tekanan kepada operasi sektor penanaman padi di negara ini apabila hampir keseluruhan kerja di sawah bergantung kepada penggunaan bahan api tersebut.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Datuk Sham Mat Sahat berkata, kenaikan harga diesel bukan sahaja menjejaskan pesawah, malah turut meningkatkan kos operasi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menguruskan pelbagai aktiviti berkaitan industri padi.
Menurut beliau, penggunaan diesel melibatkan keseluruhan rantaian operasi bermula daripada kerja membajak sawah, penggunaan jentera menuai, pengangkutan hasil padi sehinggalah kepada operasi logistik dan kilang padi.
“Semua kerja di sawah menggunakan diesel, bukan petrol. Apabila harga diesel meningkat, sudah tentu ia memberi kesan besar kepada pesawah serta pengurusan PPK.
“Bukan sahaja jentera di sawah, malah lori pengangkutan, operasi logistik dan kilang padi juga menggunakan diesel. Jadi keseluruhan rantaian industri padi turut terjejas,” katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Zakat Perniagaan PPK Bagan Serai di Bukit Merah Laketown Resort, di sini semalam.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Ahli Jawatankuasa PPK pada 16 Mac ini bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan beban yang ditanggung pesawah.
Menurutnya, antara perkara yang akan dibincangkan termasuk kemungkinan memohon bantuan atau subsidi tambahan daripada kerajaan bagi memastikan kelangsungan industri padi negara.
“Kita akan berbincang secara terperinci bersama PPK lain di seluruh negara bagi melihat perkara yang boleh dipohon daripada kerajaan untuk melindungi industri padi.
“Jika kos terus meningkat, tidak mustahil harga padi atau kos berkaitan juga terpaksa disemak semula,” katanya. – UTUSAN










