Pendidikan sekolah rendah disusun semula

Pendidikan sekolah rendah disusun semula

PENGENALAN subjek baharu iaitu Alam dan Manusia, Bahasa Isyarat Malaysia, Program Pembentukan Karakter serta Mata Pelajaran Teknologi dan Digital merupakan pembaharuan kurikulum sekolah 2027.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendidikan seko­lah rendah disusun semula me­lalui pelaksanaan baharu Kurikulum Persekolahan 2027 mulai tahun depan sebagai satu pembaharuan besar yang direka untuk melahirkan ‘Insan Sejahtera’ bagi mendepani cabaran masa ha­dapan.

Antara pembaharuan itu ia­lah tahap pendidikan sekolah rendah dipecahkan kepada tiga tahap berbanding dua tahap se­belum ini dengan fokus jelas pada setiap suatu tahap mengikut perkembangan dan kematangan murid.

Selain itu, pengenalan subjek baharu iaitu Alam dan Manusia, Bahasa Isyarat Malaysia, Program Pembentukan Karakter serta Mata Pelajaran Teknologi dan Digital.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Nooraini Ka­maruddin berkata, penyusunan semula pendidikan tiga tahap sekolah rendah itu ialah Tahap I melibatkan kategori murid untuk tahun satu dan dua dengan fokus utama kepada penguasaan asas literasi dan numerasi serta pembangunan karakter murid melalui pendekatan di­dik hibur.

Beliau berkata, murid Tahap II pula adalah kelompok murid tahun tiga dan empat dengan fokus pembelajaran beralih kepada penguasaan kemahiran mengaplikasi pengetahuan untuk menyelesaikan masalah di samping meneruskan kesinambungan pembentukan karakter.

“Manakala di Tahap III pula melibatkan murid tahun lima dan tahun enam dengan fokus pembelajaran dilonjakkan ke arah penguasaan kemahiran menganalisis.

“Ini termasuk menghasilkan inovasi melalui peningkatan keupayaan kognitif dan pem­belajaran berasaskan projek sebagai persediaan ke sekolah menengah,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Nooraini berkata, selaras dengan fokus penguasaan asas numerasi yang digariskan di Tahap I, peruntukan masa yang lebih diberikan kepada Matematik, namun ia tidak bermaksud beban silibus akan ditambah.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan ruang berharga yang memberi lebih peluang dan masa kepada murid untuk memahami konsep Matematik secara mendalam dan tahu mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan harian.

Pada masa sama, katanya, langkah ini membolehkan para guru memberikan perhatian khusus dan intervensi yang sewajarnya bagi murid yang lemah supaya asas kemahiran Matematik mereka benar-benar kukuh.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah akan ditingkatkan kepada 608 jam sepanjang tempoh enam tahun persekolahan menerusi pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027.

Dalam pada itu, Noraini berkata, pengenalan mata pelajaran baharu iaitu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu dengan menggabungkan pelbagai disiplin ilmu seperti elemen sains, pendidikan kesihatan, pendidikan seni visual, pendidikan muzik, asas Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) dan digital.

Katanya, mata pelajaran ini menghubung kait dan menggabung jalin kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai disiplin ilmu kepada satu pe­ngalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh, bermakna, relevan dan berkait rapat de­ngan dunia sebenar murid.

“Kandungan mata pelajaran ini disusun berdasarkan perkembangan murid dan melibatkan pelbagai aktiviti pembelajaran secara amali serta pembelajaran berasaskan projek.

“Mata pelajaran ini digubal secara sistematik dan bersepadu bagi memastikan kesinambungan gaya pem­belajaran yang telah dipupuk di peringkat prasekolah dite­ruskan secara bermakna dalam konteks persekolahan formal,” katanya.

Selain itu, kata Nooraini, Program Pembentukan Karakter diperkenalkan iaitu satu program khusus yang dima­sukkan terus ke dalam jadual waktu rasmi persekolahan dengan peruntukan sekurang-kurangnya 60 minit seminggu.

Katanya, ia dilaksanakan dari prasekolah hingga mene­ngah atas bagi membentuk sahsiah unggul, adab, inte­griti dan jati diri murid secara berterusan.

Beliau berkata, turut diper­kenalkan ialah Mata Pelajaran Teknologi dan Digital pada Tahap III sekolah rendah dan menengah rendah bagi melengkap­kan murid dengan kemahiran fasih digital serta asas TVET melalui aktiviti hands-on atau amali dalam persekitaran projek yang sebenar.

“Bagi meraikan kepelbagaian dan keterangkuman (inklusiviti), mata pelajaran tambahan baharu seperti Bahasa Arab Komunikasi ditawarkan di sekolah menengah dan Bahasa Isyarat Malaysia juga akan ditawarkan secara berperingkat kepada murid arus perdana mulai tahun satu pada 2027,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN