Iran, AS saling ancam musnah kemudahan minyak

Iran, AS saling ancam musnah kemudahan minyak

PENUNJUK perasaan berkumpul di Times Square untuk perhimpunan Hari Al Quds bagi menyokong rakyat Palestin dan menentang pengeboman Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran di New York kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran mengancam untuk memusnahkan kemudahan syarikat minyak di rantau itu yang dimiliki atau bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) sekiranya infrastruktur minyak dan tenaga negaranya diserang.

Tentera Iran mengeluarkan amaran berkenaan selepas pe­ngumuman Presiden AS, Do­nald Trump ke atas sasaran ketenteraan di hab minyak Iran, Pulau Kharg kelmarin.

Trump turut mengugut untuk menyerang hab eksport minyak terbesar Iran di pulau itu jika Teheran terus menghalang kapal melalui Selat Hormuz.

Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, operasi tersebut memusnahkan sepenuhnya setiap sasaran tentera di pulau berkenaan, yang turut disifatkannya sebagai serangan paling hebat dalam sejarah Asia Barat.

Presiden AS itu menegaskan, beliau memilih untuk tidak menyerang infrastruktur minyak di pulau itu buat masa ini.

“Bagaimanapun, jika Iran atau mana-mana pihak lain mengganggu laluan bebas dan selamat di Selat Hormuz, saya akan mempertimbangkan semula keputusan ini dengan segera,” kata Trump.

Agensi berita Fars mengesahkan serangan AS hanya memusnahkan sasaran tentera dan tiada kerosakan pada kemudahan minyak di pulau yang mengendalikan sebahagian besar eksport minyak mentah negara itu.

Beliau turut memaklumkan, Tentera Laut AS akan mula mengiringi kapal tangki melalui Selat Hormuz ‘tidak lama lagi’ untuk memulihkan eksport minyak.

AS dan Israel dilaporkan berhati-hati di sekitar pulau tersebut, tetapi pegawai pentadbiran Trump berkata penguasaan Kharg merupakan satu daripada kemungkinan strategi jika konflik Asia Barat berterusan.

Gelombang serangan dron, peluru berpandu dan pengeboman udara menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal di rantau itu, termasuk membunuh lebih 1,200 orang di Iran sejak AS-Israel memulakan pencerobohan pada 28 Februari lalu.

Walaupun berdepan serangan bertubi-tubi daripada AS dan Israel, Iran tanpa henti melancarkan melancarkan peluru berpandu serta dron ke sekurang-kurangnya 10 negara yang menempatkan aset pertahanan musuh.

Data agensi berita Anadolu mendedahkan AS kerugian kira-kira AS$3.84 bilion (RM15.12 bilion) aset pertahanan dalam tempoh dua minggu pertama kempen ketenteraannya ke atas Iran yang dinamakan sebagai Operasi Epic Fury.

Pentagon sedang mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai askar melibatkan 5,000 anggota marin dan kapal perang tambahan ke Asia Barat susulan Iran meningkatkan serangannya di Selat Hormuz.

Sehingga kini, perang yang memasuki minggu ketiga dicetuskan oleh AS-Israel masih belum berjaya menggulingkan kerajaan Republik Islam Iran, meskipun pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, terbunuh.

Selama dua minggu perang berdarah, Iran memegang banyak kelebihan kerana menyekat bekalan minyak dunia dan menyerang sekutu AS di Asia Barat, termasuk negara

Teluk yang bertahun-tahun mempertaruhkan reputasi mereka terhadap kestabilan politik dan ekonomi.

Harga minyak mentah me­ningkat lebih 40 peratus sejak perang bermula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN