Struktur baharu Majlis Tertinggi PN - Utusan Malaysia

Struktur baharu Majlis Tertinggi PN

AHMAD Samsuri Mokhtar tersenyum ketika tiba bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Ibu Pejabat Gerakan di Cheras, Kuala Lumpur semalam. – MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melakukan rombakan struktur ahli Majlis Tertingginya termasuk melantik Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke jawatan Setiausaha Agung PN bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Selain Takiyuddin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN bagi menggantikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tiga lagi Timbalan Pengerusi PN ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yasin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven.

Struktur jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN kini dijawat oleh Mohamed Azmin (Bersatu), Wong Chia Zhen (Gerakan) dan Datuk Sivakumar Krishnan (MIPP).

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan pelantikan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan PN berkuat kuasa serta merta.

Selain itu, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin pula dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN bagi menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang kini diletakkan sebagai Bendahari Agung PN.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin digugurkan daripada jawatannya sebagai Ketua Wanita PN dengan digantikan oleh Pemangku Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

PN juga memutuskan seorang ahli Parlimen Pas mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahmad Samsuri berkata, pengganti Hamzah akan diumumkan sebelum akhir bulan ini. Katanya, sehingga nama itu diumumkan, Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN