MATTA minta subsidi diesel kenderaan pelancongan

MATTA minta subsidi diesel kenderaan pelancongan

MOHD. Hizzat Mohd Shah (tengah) bersama Rocky Kho (kiri) dan Cheng Wai Tong (kanan) dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa kerajaan mempertimbangkan pemberian subsidi bahan api khusus untuk kenderaan pelancongan susulan lonjakan harga diesel yang kini melebihi RM5 seliter.

Langkah itu disifatkan penting bagi memastikan kelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tidak terjejas.

Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Mohd. Hizzat Mohd. Shah, berkata, ketiadaan kawalan harga minyak itu telah memberi kesan langsung yang serius kepada pemain industri pelancongan.

“Kami mendesak kerajaan meneliti pemberian subsidi minyak kepada kenderaan pelancongan memandangkan selama ini sektor tersebut tidak pernah menikmati sebarang subsidi bahan api.

“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing telah memanggil pemain industri untuk sesi libat urus dan perbincangan susulan krisis yang berlaku,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Macau: Destinasi Kegemaran Antarabangsa di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, semalam.

Turut hadir, Bendahari Kehormat MATTA, Rocky Kho dan Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Macau, Cheng Wai Tong.

Kelmarin, pengusaha bas pelancongan mendakwa mereka semakin tertekan apabila kos operasi meningkat sehingga 100 peratus.

Pengerusi Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara, Ahmad Ruslan Abdul Latiff dilaporkan berkata, sebanyak 100 syarikat bawah naungannya melahirkan kebimbangan terhadap impak jangka panjang kenaikan tersebut yang boleh menyebabkan mereka gulung tikar.

Sementara itu, Mohd. Hizzat berkata, perbincangan peringkat tinggi itu turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

“Sesi itu merangkumi penglibatan pihak lapangan terbang dan Kementerian Kewangan (MOF) bagi mencari jalan penyelesaian komprehensif untuk membantu pengusaha industri.

“Setakat ini, MOTAC sedang giat menekan agar subsidi ini diluluskan. Namun keputusan muktamad kini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×