PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia sepakat untuk terus memperkukuh kerjasama strategik serta memperhebat usaha diplomasi dalam mendepani ketidaktentuan global ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan antara kedua-dua negara serumpun itu menjadi semakin penting dalam memastikan kestabilan serantau dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, hubungan erat yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia akan terus diperkukuh melalui pendekatan kerjasama yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
“Dalam suasana global yang tidak menentu, Malaysia dan Indonesia komited untuk berganding bahu, memperkukuh kerjasama strategik serta memperhebat ikhtiar diplomasi demi menjamin kestabilan serantau.
“Semoga silaturahmi antara dua negara serumpun ini terus diperteguh ke tahap yang lebih utuh dan wibawa,” katanya selepas mengakhiri kunjungan singkat ke Indonesia hari ini.
Terdahulu, Anwar menyifatkan pertemuannya bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hari ini sebagai penuh makna dan membuka ruang konstruktif dalam mencari titik persamaan bagi mendepani konflik Asia Barat yang semakin menekan keselamatan tenaga serta kestabilan ekonomi dunia.
Beliau dilaporkan berkata, dalam suasana ketidaktentuan global yang kian meruncing, Malaysia dan Indonesia menegaskan keperluan memperkukuh kesepaduan serantau yang berprinsip demi memelihara keamanan, menjamin kestabilan serta memperkukuh daya tahan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.
“Kami sepakat untuk mempergiat usaha diplomasi bagi meredakan konflik, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
“Pada masa sama, kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz mesti dipastikan tidak terjejas,” katanya.- UTUSAN










