KUALA LUMPUR: Seramai 6,650 mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi sekitar Lembah Klang menerima bantuan tiket perjalanan dan wang saku daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,999,800.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, bantuan itu merangkumi tiket bas, tiket kapal terbang serta wang saku perjalanan bagi meringankan beban pelajar pulang berhari raya.
Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen MAIWP dalam menyantuni golongan mahasiswa agar mereka dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tanpa dibebani kos perjalanan yang tinggi.
“Program ini diharapkan dapat membantu mahasiswa pulang ke kampung halaman dengan lebih selesa, sama ada mereka perlu menyeberang laut atau menempuh perjalanan jauh di lebuh raya.
“Kita mahu memastikan laluan untuk anak-anak ini pulang beraya sentiasa terbuka dan tiada yang terpaksa berhutang atau mengikat perut semata-mata untuk membeli tiket,” katanya ketika berucap merasmikan program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa 2026 di ibu negara, hari ini.
Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Selain itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur, Kolej Islam Antarabangsa (KIA) dan Universiti Malaya (UM).
Menurut Zulkifli, pihaknya merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menyumbang kepada pelaksanaan program bantuan tersebut.
Katanya, sumbangan zakat yang diterima oleh MAIWP memainkan peranan penting dalam memastikan pelbagai program kebajikan termasuk bantuan kepada mahasiswa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“MAIWP hanya menjadi pengantara untuk mengagihkan zakat yang dibayar.
“Tanpa komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program bantuan seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum,” katanya. – UTUSAN










