Lelaki warga asing cuba curi kabel KTMB ditahan

Lelaki warga asing cuba curi kabel KTMB ditahan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan seorang lelaki mencuri kabel berhampiran landasan kereta api di Telok Gadong hingga Teluk Pulai dekat Klang, gagal selepas ditahan anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), petang semalam.

KTMB memaklumkan, suspek ditahan kira kira pukul 6.45 petang ketika dua anggota Polis Bantuan KTMB yang menjalankan rondaan di kawasan terbabit yang dikenal pasti sebagai lokasi panas kecurian kabel.

Menurutnya,  dua anggota polis bantuan terbabit terserempak dengan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran landasan.

“Ketika dihampiri, suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg kecil, sebilah pisau dan gunting yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah terbabit.

“Suspek bersama barang bukti kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada 7.20 malam untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KTMB berkata, lelaki berkenaan dipercayai warga asing dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Tambahnya, perbuatan menceroboh serta merosakkan harta benda kereta api adalah kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

“KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan atau cubaan mencuri kemudahan infrastruktur rel kerana perbuatan itu boleh menjejaskan keselamatan operasi tren serta perkhidmatan kepada penumpang,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 0322631194 yang beroperasi 24 jam atau memaklumkan kepada polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN