Lelaki Pakistan ditahan sedia khidmat 'prebet sapu' dari KL ke Johor Bahru

Lelaki Pakistan ditahan sedia khidmat ‘prebet sapu’ dari KL ke Johor Bahru

ZULKARNAIN Yasin (dua kiri) bertanyakan soalan kepada lelaki Pakistan yang dipercayai menyediakan perkhidmatan 'prebet sapu' dengan bayaran RM80 seorang bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru ketika mengetuai Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Skudai, Johor Bahru, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor selepas dipercayai menyediakan perkhidmatan ‘prebet sapu’ dengan mengenakan bayaran RM80 seorang bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke bandar raya ini, semalam.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, individu berusia 30 tahun tersebut didapati membawa seramai lapan orang penumpang dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Grand Livina.

Katanya, empat daripada penumpang merupakan warga Pakistan manakala empat yang lain adalah warga Rohingya.

“Siasatan dibuat terhadap penumpang memaklumkan mereka membayar RM80 sekepala bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru. Penumpang paling muda adalah seorang bayi Rohingya berusia setahun.

“Ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana menyalahgunakan kenderaan persendirian,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Skudai, di sini malam tadi.

Tambah Zulkarnain, selain itu pemeriksaan yang dilaksana dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu turut mengesan lima individu positif penyalahgunaan dadah.

“Seorang daripada mereka merupakan penuntut institusi pengajian tinggi yang berusia 20 tahun. Empat daripada mereka merupakan penunggang motosikal manakala seorang lagi pemandu lori.

“Kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 1983,” katanya lanjut.

Zulkarnain turut memberitahu pihaknya telah mengenalpasti 33 lokasi ‘black spot’ kemalangan di seluruh Johor yang akan diberikan tumpuan pada musim perayaan ini.

“Kami telah gerakkan seramai lebih 300 pegawai dan anggota untuk memastikan aspek pematuhan undang-undang dan keselamatan jalan raya dipatuhi semua pihak, termasuk penunggang motosikal, pemandu motokar serta pemandu bas dan lori.

“Operasi yang diadakan bermula 16 Mac hingga 29 Mac ini memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama, antaranya tidak mematuhi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan membawa lebihan muatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN