MELAKA: Seorang lelaki cedera selepas dipukul sekumpulan individu dalam insiden rusuhan di tepi Jalan Tangga Batu berhampiran Masjid Ar-Rabbani awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Charistopher Patit berkata, dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan seorang mangsa, Muhammad Firdaus Zulkefle, 24, yang bekerja sebagai buruh binaan dan berasal dari Pantai Kundor.
Menurutnya, mangsa mengalami luka di kepala serta bengkak di bahu kanan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang.
“Mangsa ditegur oleh seorang lelaki dikenali sebagai ‘Kechik’ yang mendakwa pengadu bertanggungjawab menyebabkan adiknya ditahan polis atas kesalahan curi motosikal.
“Susulan itu, mangsa dikepung oleh sekumpulan lima lelaki sebelum dipukul dengan topi keledar dan sebatang kayu. Kejadian itu berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Christopher berkata, kejadian rusuhan berkenaan juga ular di media sosial namun identiti individu yang merakam video masih belum dikenal pasti.
Tambahnya, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ditemui di lokasi dan saksi-saksi yang melihat kejadian sedang dikesan.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Jelasnya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan pihaknya sedang mengenal pasti semua individu yang terlibat, berusia antara 20-an hingga 30-an. – UTUSAN










