JOHOR BAHRU: Seorang juruteknik dipenjara 18 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdagang bayi, melakukan amang seksual fizikal dan merakam video penganiayaan seksual dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Imran Abdullah, 30, dijatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan tiga hakim, Mohd. Zamir Suhaimee, Madihah Zainol dan Nor Aziati Jaafar.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada di bawah pengawasan polis selama 2 tahun selepas dibebaskan.
Berdasarkan tiga pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memperdagang dua bayi perempuan berusia lima hari dan seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan bagi maksud eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Muhammad Imran didakwa melakukan semua perbuatan itu di Taman Melor, Tampoi di sini serta Taman Kota Masai dan Taman Scientex, Pasir Gudang antara pukul 9 malam 11 mac hingga 12 tengah hari, 24 November 2024.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bagi empat lagi pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas tiga kanak-kanak perempuan berusia lima hingga tujuh tahun ketika kejadian.
Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Selain itu, dia turut didakwa dengan tiga lagi pertuduhan iaitu menghasilkan bahan penganiayaan seksual dengan cara merakam video ketiga-tiga mangsa yang sama.
Perbuatan itu merupakan kesalahan mengikut Seksyen 5 akta sama.
Kesalahan tersebut pula didakwa dilakukan di dalam bilik tidur dan tepi rumah di Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang, di sini antara pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi, 5 April 2024.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir; Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamed Imran Mohamed Sam dan Haziq Ishak. – UTUSAN










