Lebih 70,000 talian disyaki guna untuk scam ditamatkan perkhidmatan

Lebih 70,000 talian disyaki guna untuk scam ditamatkan perkhidmatan

TEO Nie Ching semasa program Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menamatkan sebanyak 70,122 talian telefon yang dikesan disalah guna bagi menghantar mesej meragukan atau aktiviti penipuan, tahun lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding tahun sebelumnya membabitkan 7,409 talian.

Justeru, katanya, MCMC turut mengemas kini garis panduan pembelian kad SIM prabayar bagi mengelakkan penyalahgunaan, khususnya dalam kalangan pelancong asing.

“Sebelum ini, pelancong boleh membeli sehingga lima kad SIM prabayar bagi setiap syarikat telekomunikasi, namun jumlah itu kini dihadkan kepada dua sahaja bagi setiap telco.

“Selain itu, kad SIM prabayar yang didaftarkan oleh pelancong akan ditamatkan secara automatik selepas tiga bulan bagi memastikan ia tidak terus digunakan untuk tujuan penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Temenggong, di sini hari ini.

Nie Ching berkata, pendaftaran kad SIM kini perlu menggunakan dokumen asal seperti kad pengenalan atau pasport, selain kaedah pengesahan identiti seperti biometrik atau MyDigital ID bagi mengelakkan penyalahgunaan melalui salinan fotostat.

Katanya, MCMC sebagai pengawal selia akan mengambil tindakan terhadap syarikat telekomunikasi atau pengedar yang gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, program Internet Selamat ini diperluas meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat selaras dengan hasrat MCMC bagi membanteras kegiatan scam

“Perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mudah diakses menyebabkan taktik penipuan turut berubah dengan pantas.

“Teknologi sentiasa berubah. Jika dahulu penggunaan AI masih mempunyai banyak halangan, hari ini orang ramai boleh menghasilkan video, gambar atau suntingan menggunakan AI dengan sangat cepat dan mudah.

“Oleh itu program kesedaran awam mengenai keselamatan digital perlu dilaksanakan secara berterusan supaya masyarakat lebih celik tentang jenis scam yang digunakan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN