Konflik Asia Barat: Syarikat penerbangan global hadkan jadual operasi

Konflik Asia Barat: Syarikat penerbangan global hadkan jadual operasi

KENAIKAN tambang tersebut disifatkan berpunca daripada peningkatan mendadak kos bahan api yang memberi kesan besar kepada industri penerbangan global.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa syarikat penerbangan di seluruh dunia mula mengurangkan jadual penerbangan susulan kenaikan kos bahan api secara mendadak.

Air New Zealand mengumumkan pengurangan kira-kira lima peratus daripada jadual operasinya yang melibatkan hampir 1,100 penerbangan sehingga awal Mei.

Langkah itu diambil berikutan konflik Asia Barat yang menyebabkan peningkatan kos bahan api pesawat sehingga menjejaskan operasi penerbangan di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat penerbangan New Zealand itu turut menyertai beberapa syarikat lain yang telah menaikkan harga tambang minggu ini termasuk Qantas Airways, Scandinavian Airlines dan Thai Airways.

Kenaikan tambang tersebut disifatkan berpunca daripada peningkatan mendadak kos bahan api yang memberi kesan besar kepada industri penerbangan global.

Konflik di Asia Barat juga memaksa banyak syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke dan dari rantau tersebut atau memilih laluan alternatif selepas aktiviti dron serta serangan peluru berpandu mengehadkan penggunaan ruang udara.

Keadaan itu sekali gus mencetuskan krisis terbesar kepada industri penerbangan sejak pandemik Covid-19.

Harga minyak dunia turut meningkat pada Khamis lalu selepas pegawai keselamatan Iraq melaporkan dua kapal tangki minyak bahan api diserang bot sarat bahan letupan milik Iran, selain gangguan bekalan global yang lain.

Menurut Ketua Eksekutif Air New Zealand, Nikhil Ravishankar berkata, pengurangan jadual penerbangan itu akan menjejaskan kira-kira 44,000 penumpang.

Katanya, penerbangan jarak jauh dijangka kurang terjejas memandangkan laluan ke Amerika Syarikat (AS) menjadi persinggahan bagi penumpang yang menuju ke Eropah sejak penutupan ruang udara Asia Barat.

“Orang ramai masih mahu ke Eropah dan melalui ruang udara AS, kita boleh membawa mereka ke Eropah. Itu yang sedang kami fokuskan,” katanya.

Difahamkan, nilai saham Air New Zealand susut kira-kira satu peratus pada Khamis lalu sejajar dengan penurunan yang turut dialami Cathay Pacific, Qantas Airways dan Japan Airlines.

Berhubung bekalan bahan api pesawat di Australia, Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Sydney, Scott Charlton berkata, negara itu kini bergantung kepada import dengan bekalan yang hanya mampu bertahan antara 25 hingga 30 hari.

Katanya, keadaan itu menjadikan Australia terdedah kepada gangguan laluan perkapalan antarabangsa serta ketidaktentuan geopolitik.

“Kami tidak lagi menapis bahan api penerbangan pada skala besar. Kami mengimportnya,” katanya.

Sementara itu, Cathay Pacific menjadi syarikat penerbangan terbaharu yang menyesuaikan caj bahan api selepas mengumumkan semua laluan penerbangannya akan terjejas bermula 18 Mac susulan kos bahan api pesawat meningkat dua kali ganda sejak awal bulan ini.

Kesan konflik itu turut dapat dilihat melalui beberapa insiden berhampiran lapangan terbang utama di Dubai, manakala Bahrain dilaporkan memindahkan beberapa pesawat susulan serangan terhadap infrastruktur di rantau Teluk yang mengganggu trafik udara.

Pada masa sama, penumpang kini lebih cenderung memilih syarikat penerbangan yang mengelakkan ruang udara Asia Barat, dengan Thai Airways melaporkan peningkatan jumlah penumpang bagi laluan ke Eropah.

Cathay Pacific turut membatalkan penerbangan ke Dubai dan Riyadh sepanjang Mac, namun menambah perkhidmatan ke London dan Zurich bagi memenuhi permintaan penerbangan Asia-Eropah yang tidak melalui ruang udara Asia Barat.

Kesan rantaian konflik itu turut dirasai negara lain apabila Vietnam memberi amaran bahawa syarikat penerbangan domestiknya berkemungkinan berdepan kekurangan bahan api seawal bulan depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×