PETALING JAYA: Serangan Iran dan pembunuhan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei bukan sahaja menggugat kedaulatan negara itu, malah boleh mencetuskan ketegangan lebih luas di rantau Timur Tengah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, serangan itu jelas melanggar norma keadilan sejagat, mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatannya.
“Serangan ganas ini menyasarkan lokasi strategik Iran termasuk kawasan berkaitan kepimpinan tertinggi negara, yang jelas melanggar norma keadilan sejagat, mengancam keselamatan, kestabilan dan kedaulatannya.
“Seluruh dunia perlu bersatu mengutuk Amerika Syarikat dan Israel yang pengecut dan bukan sahaja merupakan dalang di sebalik serangan ini, malah sedang melakukan jenayah perang di rantau Timur Tengah,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, dunia digemparkan dengan tindakan AS dan Israel menyerang Iran dengan membedil lokasi-lokasi utama di ibu negara itu.
Susulan serangan udara itu, media kerajaan Iran melaporkan Khamenei telah terkorban, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan politik dalaman negara itu.
Abdul Hadi berkata, Pas mengecam serangan Amerika Syarikat dan Israel yang telah mengorbankan nyawa Ali Khamenei.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Khamenei atas insiden berkenaan serta mendoakan agar roh pemimpin tertinggi itu ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Pas mengucapkan takziah kepada keluarga Ayatollah Ali Khamenei atas tragedi ini.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka dan dikurniakan ganjaran Syahid di sisi Allah,” katanya. – UTUSAN









