Keluarga pelajar dituduh pijak al-Quran tidak tahu dakwaan anak peluk Islam

Keluarga pelajar dituduh pijak al-Quran tidak tahu dakwaan anak peluk Islam – Peguam

K. Selvanathan (kanan) bersama Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman berbincang selepas selesai prosiding pertuduhan kes anaknya di Mahkamah Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bapa kepada pelajar yang dituduh memijak al-Quran tidak mengetahui tentang status agama anaknya yang dikatakan sudah memeluk Islam pada 25 April tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam kepada pelajar berkenaan, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman ketika wartawan cuba mendapatkan penjelasan bapa tertuduh mengenai perkara itu.

Muhammad Amirull Afiqq berkata, bapa tertuduh, K. Selvanathan tidak bersedia untuk menjawab sebarang soalan dari wartawan ketika itu.

“Kalau tanya dia, dia akan jawab ‘no komen’. Bapa dia pun tidak tahu tentang (dakwaan) anaknya peluk Islam,” katanya ketika ditemui di pintu Mahkamah Kuantan di sini, hari ini.

Sebelum ini, terdapat dakwaan mengatakan  pelajar lelaki berkenaan adalah seorang mualaf yang sudah melafazkan syahadah pada 25 April tahun lalu.

Perkara itu didedahkan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi hantaran dalam Facebook, Isnin lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit sebelum ini berhubung dengannya melalui Instagram dan bersungguh-sungguh meminta dibimbing untuk memeluk Islam.

S. Vikneswaran sebelum ini mencetuskan kemarahan banyak pihak apabila memuat naik gambar memijak Al-Quran dan membuat hantaran menghina Nabi Muhammad dalam media sosial.

Bapa mangsa kemudian bertindak membawa anaknya ke balai polis bagi membuat permohonan maaf dan pihak berkuasa menahan pelajar berkenaan untuk tindakan lanjut.

Dia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan, memijak naskhah al-Quran dan memuat naik gambar perbuatan itu dalam media sosial, sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN