Kelantan denda RM1,000 buang sampah selepas berbuka puasa

Kelantan denda RM1,000 buang sampah selepas berbuka puasa

LONGGOKAN sampah yang dibuang merata oleh pengunjung tidak bertanggungjawab selepas berbuka puasa di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengenakan denda sehingga RM1,000 kepada mana-mana individu yang didapati membuang sampah atau membuat kekotoran di tempat awam selepas berbuka puasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, ia susulan kes pembuangan sisa makanan dan plastik bungkusan secara tidak terkawal di beberapa lokasi tumpuan berbuka puasa, khususnya di kawasan tepi sungai Lembah Sireh yang menjadi lokasi ‘viral’ setiap kali Ramadan.

“Kita telah beri peringatan berulang kali, tapi masih terdapat segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab meninggalkan sampah merata-rata sehingga mencemarkan kawasan awam.

“Jika keadaan ini berterusan, tindakan tegas akan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran 2020. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 kerana membuat kekotoran di tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hilmi memberitahu, pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut mempertimbangkan langkah lebih drastik termasuk mengarahkan penutupan kawasan terbabit kepada orang awam sekiranya tahap kebersihan terus diabaikan.

Katanya, antara kesalahan yang sering dikesan ialah membuang sisa makanan, plastik pembungkus dan bekas minuman di atas rumput, laluan pejalan kaki serta tebing sungai selepas waktu berbuka.

“Ramadan sepatutnya mendidik kita menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab, bukan sebaliknya.

“Sekiranya tong sampah penuh, orang ramai disaran meletakkan sampah secara tersusun di tepi tong bagi memudahkan kutipan atau membawa pulang sendiri sisa masing-masing,” ujarnya.

Hilmi berkata, penguatkuasaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan kebersihan kawasan awam sentiasa terpelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN