PETALING JAYA: Selepas didakwa bersikap biadap terhadap seorang staf jualan, pelakon dan usahawan, Betty Rahmad memaklumkan dirinya bakal membuat penjelasan secara umum bagi meleraikan segala spekulasi.
Menurut Betty, penjelasan itu akan dibuat secara siaran langsung usai dirinya menyelesaikan segala urusan peribadinya.
“Alhamdulillah selamat sampai rumah. Perlu masa untuk rehat, nak bangun masak dan bersahur. Lepas rindu dengan anak dan suami saya.
“Akan buat live selepas Tadarus untuk perjelaskan tentang perkara itu,” katanya menerusi sebuah hantaran di TikTok.
Tidak melatah dengan situasi yang berlaku, Betty bertegas untuk menceritakan perkara sebenar selain membiarkan beberapa pihak terus menerus mengecamnya tanpa usul periksa.
“Yang mana nak percaya dulu, silakan. Yang mana kenal saya tahu saya macam mana.
“Jadi biar saya selesaikan urusan saya kemudian saya akan live sekitar 11.30 pagi. Jangan tak tengok pula tau. Saya tidak ulang dah. Sabar sekejap,” kongsinya.
Sebelum ini tular sebuah video dimuat naik oleh seorang usahawan yang dikenali sebagai Alif meluahkan rasa berang terhadap sikap biadab Betty yang didakwa meninggikan suara ketika mereka sama-sama terlibat dalam sebuah festival jualan di Singapura.
Dalam video sama, usahawan itu turut menyebut nama pengarah dan penerbit Erma Fatima yang juga dakwanya bersikap kurang ajar tahun lalu.










